Kumaran (tengah) melepaskan bendera sebagai simbol bermula Ops bersepadu Pencegahan Jenayah di negeri Selangor bermula hari ini membabitkan semua ibu pejabat polis daerah di negeri tersebut bertempat di IPD Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Walaupun keseluruhannya indeks kes jenayah  Selangor menunjukkan penurunan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini namun kes samun masih menunjukkan peningkatan.

Bagi indeks jenayah, setakat 1 Januari hingga 30 Ogos lalu hanya 10, 727 kes dilaporkan berbanding sebanyak 13, 186 kes tempoh sama tahun 2019 di Selangor.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Selangor, Senior Asisten Komisioner, Kumaran Karuppanna bagaimanapun berkata, selain kes samun termasuk kes ragut, kes pecah rumah, curi, curi motosikal dan motokar juga masih menunjukkan peningkatan tinggi.

Ia disebabkan penjenayah bebas bergerak melakukan jenayah ekoran kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sepanjang tempoh berkenaan, samun berkawan tanpa senjata api merekodkan 1,031 kes diikuti samun bersenjata sebanyak 610 kes manakala 2,095 kes kecurian dilaporkan.

Bagi kes curi motokar pula sebanyak 1,020 kes dilaporkan, curi motosikal sebanyak 3,001 kes dan pecah rumah 1,838 kes.

“Memandangkan kes-kes berkenaan bersifat traumatik dan boleh mendatangkan fear of crime dalam kalangan masyarakat, polis Selangor mengambil langkah serius membendung fenomena ini menerusi Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah membabitkan sembilan daerah polis yang memiliki kadar jenayah indeks yang tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian Program Ops Bersepadu Pencegahan jenayah di Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

Menurut Kumaran, seramai 742 orang termsuk 74 pegawai dari setiap bahagian dan cawangan terlibat dalam operasi bersepadu pencegahan jenayah itu manakala Ops Bersepadu sembilan daerah lain juga berjalan serentak serta merta diketuai ketua daerah masing-masing.

“Konsep Ops Bersepadu ini dilaksanakan secara mobile dan statik selain memeriksa kawasan hotspot secara mobile selain sekatan jalan raya turut diadakan di kawasan-kawasan tertentu yang akan berpecah dalam kumpulan tertentu,” katanya.

Beliau hadir mewakili Ketua Polis Selangor dan merasmikan Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah yang akan bermula hari ini di seluruh negeri membabitkan semua ibu pejabat polis daerah termasuk IPD Petaling Jaya.

Tambah beliau, Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah itu akan dilaksanakan selama tempoh sebulan secara serius dan efisien.

Katanya ia bagi memastikan kes-kes jenayah khususnya berkaitan samun, pecah rumah, curi kereta dan motosikal dapat dikurangkan. – MalaysiaGazette