Najib Razak

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta bank-bank di negara ini untuk melanjutkan moratorium pinjaman selama enam bulan lagi secara automatik.

Katanya, kesemua bank utama di Malaysia masih mampu mencatatkan keuntungan lebih tinggi dalam tempoh tiga bulan paling sukar akibat pandemik Covid-19.

Malah terdapat dua bank iaitu Alliance dan Hong Leong Bank yang mengumumkan keuntungan lebih tinggi dalam tempoh tersebut.

“Ini bermakna bank masih mampu bertahan dan dalam keuntungan walaupun diancam krisis Covid dan diarahkan untuk memberi moratorium pinjaman.

“Sebab itu, saya seru bank untuk melanjutkan moratorium pinjaman untuk 6 bulan secara automatik kerana krisis Covid dunia masih belum berakhir dan dijangka bertambah teruk sebelum ianya memulih.

“Namun peminjam yang business atau pendapatan telah pulih dan mampu bayar, teruskan untuk bayar. Kena jujur dan jangan ambil kesempatan.

“Masa baik, kita jaga bank. Masa susah, bank jaga kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada minggu lepas, kebanyakan bank utama di Malaysia mengumumkan prestasi kewangan masing-masing bagi tempoh suku tahun kedua 2020.

Meskipun terdapat penyusutan keuntungan berbanding tempoh sama tahun lalu, tiada bank yang merekodkan kerugian sepanjang tempoh April hingga Jun tahun ini.- MalaysiaGazette