Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak ada asas untuk menamatkan kontrak projek pembinaan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2) yang sedang dilaksanakan oleh Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd.

Dhaya Maju LTAT adalah syarikat kerjasama menerusi DhayaMaju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang telah meraih kontrak pemulihan KVDT 2 iaitu 10 bulan selepas ia dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohamed Razeek Hussain berkata, syarikat kerjasama itu berupaya melaksanakan projek berkenaan, oleh sebab itu ia mendapat kontrak semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan PH pada tahun 2018 dan 2019.

Katanya, Dhaya Maju LTAT telah menerima Surat Penganugerahan sebagai kontraktor kali pertama untuk KVDT2 pada 4 April 2018 dan kemudian memulakan kerja.

Tetapi apabila negara ditadbir oleh PH, kontrak KVDT2 ditamatkan pada 19 Oktober 2018.

Jelasnya, disebabkan tiada asas untuk menamatkan kontrak awal, PH pada 5 Julai 2019 melantik semula Dhaya Maju LTAT untuk projek KVDT2 dan kedua-dua pihak melaksanakan Perjanjian Penyelesaian, yang mana kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan Surat Anugerah baharu.

Sebagai balasan, Dhaya Maju LTAT mengetepikan semua tuntutannya terhadap Kerajaan PH kerana penamatan yang salah.

”Berikutan itu, kami dilantik untuk meneruskan projek KVDT2 berdasarkan Surat Penghargaan bertarikh 19 Ogos 2019 dengan jumlah kontrak yang lebih rendah.

”Jumlah kontrak yang dikurangkan selepas siri pengurusan nilai dan nilai makmal kejuruteraan yang dilaksanakan dengan penyertaan semua pihak berkepentingan diketuai pakar-pakar dari Kementerian Pengangkutan, Keretapi Tanah Melayu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi, Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

”Oleh itu, kami kecewa dan bingung dengan kenyataan menteri berdasarkan beberapa laporan mengenai kos projek yang kami tidak sedari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membuat kenyataan bahawa tender untuk KVDT2 akan dibuka semula.

Ini kerana, dakwa Ka Siong, siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu terlalu mahal walaupun terdapat pengurangan kos oleh PH sebelum ini.

Projek KVDT2 mendapat perhatian selepas Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan 101 kontrak bernilai RM6.61 bilion telah diberikan melalui proses rundingan terus oleh PH.

Dalam butiran terperinci mengenai projek-projek tersebut oleh Kementerian Kewangan, KVDT2 adalah projek paling tertinggi dari segi nilainya.

Mohamed Razeek menambah, projek KVDT2 dipantau oleh perunding profesional dan semua tuntutan yang dibuat disahkan sebelum diluluskan untuk pembayaran.

Pada masa ini, projek berkenaan sudah mencapai kemajuan 24% membabitkan 1,512 pekerja di bawah Dhaya Maju-LTAT dan 261 syarikat bekalan dan perkhidmatan.

“Kami telah mencipta peluang pekerjaan kepada lebih daripada 7,000 pekerja di bawah sektor perkhidmatan, bekalan dan penyelenggaraan.

”Malah, syarikat telah membuat pelaburan sebanyak RM350 juta untuk mendapatkan jentera dan peralatan keretapi khusus untuk mencapai projek tepat pada masanya selesai. Ini sebagai tambahan kepada nilai kejuruteraan awam sekitar RM120 juta,” ujarnya.

Tegasnya, Dhaya Maju-LTAT komited untuk terus melaksanakan obligasi bagi memastikan projek ini siap mengikut jadual ditetapkan.

Tambahan pula KVDT2 adalah komponen penting dan pengukuhan pengangkutan awam di Lembah Klang dan sebarang kelewatan akan memberi kesan terutamanya kepada pengguna.

Sebarang penangguhan akan menyusahkan pengguna.

”Permintaan Menteri untuk membuka semula tender KVDT2 tanpa sebarang justifikasi bertentangan dengan pernyataannya, yang mana melengah-lengahkan projek akan membawa penderitaan yang tidak terhitung kepada orang ramai dan penumpang,” tambah beliau.

Lantaran itu, syarikat ini akan terus berurusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan bagi memastikan projek KVDT 2 dan kepentingan orang ramai tidak terjejas. – MalaysiaGazette