KUALA LUMPUR – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meminta orang awam berwaspada dengan bahan pemasaran palsu yang menggunakan nama dan logo PIDM untuk mempromosikan skim pelaburan atau perniagaan.

Contohnya, bahan pemasaran atau dokumen yang salah guna gambar perlindungan PIDM atau menggunakan nama dan logo PIDM tanpa kebenaran boleh dirujuk di laman webnya pidm.gov.my.

PIDM telah menerima beberapa pertanyaan daripada konsumer kewangan mengenai bahan pemasaran berkaitan pelaburan, skim dan produk atau kewangan yang memaparkan nama dan logo PIDM.

Ramai yang telah diminta membuat pembayaran untuk mengaktifkan perlindungan PIDM bagi menerima dana daripada pihak ketiga, biasanya dalam bentuk pulangan pelaburan daripada skim, perkhidmatan atau produk kewangan.

”Saya ingin menegaskan bahawa perlindungan yang disediakan oleh PIDM kepada pendeposit bank, pemilik sijil takaful dan polisi insurans adalah secara automatik dan percuma. Perlindungan ini tidak memerlukan sebarang pembayaran dan pendaftaran.

”Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan PIDM tidak merangkumi pinjaman dan produk kewangan bukan deposit seperti unit amanah, saham, dan produk pelaburan emas dan perak,” Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah.

Rafiz berkata, institusi ahli PIDM adalah semua bank perdagangan konvensional dan bank Islam, syarikat insurans am, syarikat insurans hayat, serta pengendali takaful yang dilesenkan Bank Negara Malaysia.

Senarai penuh institusi ahli PIDM boleh didapati di pidm.gov.my.

”Sekiranya anda dihubungi oleh pihak yang mengutip bayaran atau yuran bagi perlindungan PIDM, sila maklumkan kepada kami.

”Maklumat ini dapat membantu kami mengeluarkan amaran kepada orang awam agar lebih berwaspada terhadap percubaan menipu,” ujarnya.

Orang awam juga boleh rujuk kepada senarai peringatan pengguna yang diterbitkan oleh pengawal selia kewangan lain, dan semak laman web tersebut untuk mengetahui nombor akaun bank atau nombor telefon yang telah dilaporkan kepada pihak polis berkaitan penipuan, kata Rafiz.

Orang awam boleh menghubungi PIDM di talian bebas tol 1-800-88-1288 untuk mendapatkan maklumat lanjut. – MalaysiaGazette