Prevalens A701V dalam kalangan kes gelombang ketiga ialah 86 peratus manakala D614G ialah 100 peratus.- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak enam kes baharu positif Covid dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari dengan empat kes pulih.

Ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 153 kes yang mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Berikutan itu jumlah kes positif virus itu meningkat kepada 9,360 kes manakalan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,079 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada enam kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.

“Empat kes import tersebut dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu tiga kes baru pulang dari Indonesia dan satu lagi kes dari Syria,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kedua-dua kes penularan di dalam negara, adalah dalam kalangan warganegara.

Tambah beliau, satu kes Kluster MV Glen dilaporkan di Selangor dan satu lagi kes saringan di rekodkan di tempat kerja di negeri Pahang.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan.

“Sehingga kini, terdapat empat kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham memberitahu, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kekal sebanyak 128 kes atau 1.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette