Suspek pertama warga asing yang dicekup cuba merasuah polis MOV dan tidak menunjukkan dokumen perjalanan sah.

PETALING JAYA – Dua warga asing yang cuba memberi rasuah kepada tiga anggota polis dan seorang anggota tentera semasa menjalankan rondaan mencegah jenayah Kota Damansara memakan diri sendiri.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, anggota polis terbabit menahan kedua-dua suspek yang berusia 29 dan 46 tahun itu atas kesalahan merasuah RM500 selain gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Semasa rondaan tersebut, pasukan ternampak sebuah kereta dinaiki dua lelaki warga asing dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila hendak menahan kereta tersebut, kereta itu terus memecut laju sehingga berjaya ditahan di hujung Lorong Teknologi C Kota Damansara,” katanya dalam kenyataan media petang tadi.

Suspek kedua warga asing yang cuba merasuah polis RM500 semasa polis terlibat dalam rondaan Aberdeen cegah jenayah telah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan yang sah.

“Dalam masa yang sama salah seorang suspek cuba menawarkan wang tunai RM500 kepada anggota polis dan jika tidak cukup boleh menambahnya lagi kepada polis sebagai tindakan melepaskan diri daripada ditangkap.

“Kedua-dua suspek berjaya ditahan atas perbuatan terkutuk itu kepada anggota polis berkenaan dan direman tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” tambahnya.

Jelas beliau, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman tidak melebihi 20 tahun penjara dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira warna biru yang dinaiki oleh kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette