Gambar hiasan

PeKUALA LUMPUR – Pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang mengambil Pembiayaan ASB adalah dinasihatkan untuk menghubungi bank masing-masing bagi menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah, selaras dengan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dalam kenyataannya menjelaskan, peminjam berpeluang menerima kadar pembiayaan yang lebih rendah kerana penurunan OPR memberi kesan kepada Kadar Asas (KA) dan Kadar Pembiayaan Asas (KPA) yang menentukan kadar Pembiayaan ASB yang dikenakan oleh pihak bank.

“Sekiranya pelabur masih belum menerima pengurangan dalam kadar Pembiayaan ASB mereka, kami menasihatkan mereka supaya segera menghubungi pihak bank bagi menyemak semula kadar pembiayaan berkenaan,” katanya.

ASNB berkata, pihaknya juga telah mewujudkan Pusat Khidmat Nasihat Pembiayaan ASB yang boleh dihubungi melalui Pusat Khidmat Pelanggan ASNB di talian 03-7730 8899 untuk membantu pelabur yang mengambil Pembiayaan ASB menyemak semula strategi dan struktur pembiayaan mereka.

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak empat kali pada tahun ini, iaitu pada bulan Januari, Mac, Mei dan yang terbaharu pada 7 Julai yang lalu. Secara keseluruhannya, OPR telah diturunkan sebanyak 1.25 peratus untuk tahun 2020.

Ini menjadikan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar pinjaman tempatan, kini berada pada paras terendah dalam sejarah iaitu pada kadar 1.75 peratus.

OPR telah diturunkan sebagai sebahagian usaha untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara berikutan kesan negatif COVID-19 kepada persekitaran ekonomi global.

Pengurangan kadar pembiayaan ini bakal memberi impak kepada kedudukan kewangan peminjam untuk jangka panjang dan mampu mengurangkan beban kewangan peminjam dalam keadaan yang sukar ini.- MalaysiaGazette