Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya bercakap pada sidang media mengenai isu penerokaan tanah secara haram di Raub, Pahang di Ibu Pejabat Pertubuhan Muafakat, Taman Melawati, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menggesa agar pihak berkuasa menyiasat segera kes pekebun durian Musang King di Raub yang mengusahakan tanaman buah itu secara haram di atas tanah kerajaan serta kawasan hutan simpan di Pahang.

Pengerusinya, Amiruddin Yahaya berkata, pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak menyiasat segera secara menyeluruh mengenai aktiviti haram ini.

“Pihak SPRM segera menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap pesalah untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Pihak kerajaan negeri untuk permintaan semua gantirugi yang disediakan oleh penceroboh,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Selain tiga tuntutan itu, Pembela turut menggesa agar pihak polis mengambil tindakan terhadap penceroboh mengikut undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

“Ia lanjutan dari sembilan laporan polis yang telah dibuat kepada pihak PDRM Raub. Begitu juga pencerobohan di hutan simpan perlu didakwa mengikut Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Malah katanya, tanah yang diceroboh juga hendaklah dijadikan Tanah Rizab Melayu dan semua pihak yang telah menceroboh hendaklah segera menghentikan segera pencerobohan dan memulangkan balik tanah tersebut kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Amiruddin turut mendesak kerajaan negeri Pahang agar menyerahkan tanah yang dirampas kepada pemohon-pemahon veteran angkatan tentera yang telah dijanjikan sebidang tanah seperti dijanjikan kerajaan negeri.

Naib Pengerusi Pembela, Izzat Johari berkata, siasatan harus fokus kepada 111 penceroboh terbabit.

Jelasnya, kesemua mereka melakukan penceroboh di tanah-tanah milik kerajaan negeri.

“Kita tahu kesemua 111 peneroka ini telah datang ke hadapan dan menyerah diri bahawa mereka adalah penceroboh dan mengaku tanah-tanah ini mereka usahakan. Jadi ini diusahakan secara haram.

“Ini bukan pekebun tapi ini adalah penceroboh. Notis telah dikeluarkan dan sehingga pagi tadi kerajaan negeri masih lagi mahu berunding dengan penceroboh ini,” tambah Izzat.

Untuk rekod, seramai 111 pekebun durian di Raub sebelum ini dilaporkan berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub pada 28 Ogos lalu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan terbabit.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas dalam menangani kegiatan pencerobohan hutan di Raub dengan aktiviti penanaman pokok durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras. – MalaysiaGazette