Kelima-lima ahli Parlimen Pejuang yang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen Langkawi, Ahli Parlimen Jerlun, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Ahli Parlimen Seri Gading.

PUTRAJAYA – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mensasarkan 36 ahli Parlimen bagi membolehkan parti itu menyertai mana-mana gabungan parti politik.

Pengasas Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pada masa ini pihaknya telah menyenarai seramai 18 ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang akan bersama dengan parti itu dan mereka bukanlah pimpinan yang telah menyertai Pejuang.

“Kami tidak fikir mana-mana dua gabungan parti boleh menang, jika kita boleh dapat 36 kerusi, kita memiliki peluang untuk masuk bersama dengan mana-mana parti untuk gabungan.

“Tetapi untuk sertai, mereka mesti patuhi syarat kita, barulah kita akan masuk,” katanya pada sidang media kepimpinan penaja Parti Pejuang Tanahair di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Dr Mahahir berkata, pihaknya turut berharap agar ada dalam kalangan ahli Parlimen di Semenanjung akan sama-sama membantu perjuangan Pejuang.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai langkah bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mahu menubuhkan parti baharu berbilang kaum, Dr Mahathir berkata, beliau sebenarnya tidak tahu tentang perkara itu.

Bagaimanapun katanya, beliau yakin Ahli Parlimen Muar itu sukar untuk berjaya jika hanya fokus kepada golongan anak muda.

“Walaupun orang muda adalah sebahagian besar pemilih, itu tidak cukup bagi mereka untuk menang hanya kerana mereka mendapat sokongan dari golongan muda.

“Di mana-mana kawasan pilihan raya, akan ada juga pengundi dalam golongan tua, akan ada orang muda.

“Kita juga kena tarik minat orang muda. Sukar baginya (Syed Saddiq) untuk berjaya tetapi saya fikir kita adalah negara yang bebas, dia mahu melakukan sesuatu yang sendiri,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.