Tan Sri Dr Harussani Zakaria. foto HAZROL ZAINAL, 31 JULAI 2017.

IPOH- Keadaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kini bertambah baik dan telah dipindahkan ke wad biasa Hospital Pakar KPJ Ipoh selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak 23 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata beliau dimaklumkan mengenai parkara itu oleh Jabatan Mufti Negeri Perak.

“Beliau (Harussani) masih dipantau rapi oleh Pakar Perubatan dan Neurologi Datuk Dr Zakaria Abdul Kadir, keadaannya bertambah baik dan beliau sudah boleh bertindak balas serta faham apa yang kita cakap, namun masih belum mampu berinteraksi balik dengan kita.

“Difahamkan juga, bahagian kanan badannya yang sebelum ini lemah sudah boleh digerakkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini, hari ini.

Harussani, 81, dimasukkan ke ICU selepas diserang strok selepas menunaikan solat Subuh pada 23 Ogos.

Mohd Akmal berkata mereka yang ingin menziarahi Harussani disaran supaya tidak datang ramai-ramai bagi membolehkan mufti Perak itu berehat sepenuhnya, selain perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak hospital.

Harussani dilantik sebagai Mufti Perak sejak 1985 dan memegang pelbagai jawatan di peringkat negeri mahupun pusat antaranya Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam; Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran; Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak.- BERNAMA