Ebit Lew

KUALA LUMPUR – Kedai serbaneka milik pendakwah bebas Ustaz Ebit Lew di Dataran Villa Putra, Sungai Buloh, di sini dipecah masuk awal pagi ini dan mengalami kerugian lebih RM4,000.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata kejadian disedari penolong pengurus kedai itu kira-kira 8 pagi selepas mendapati wang tunai di dalam peti besi di premis itu hilang.

Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan oleh pemilik kedai mendapati tingkap di bahagian tandas terbuka dan besi penutup tingkap yang ditinggalkan telah ditemukan.

“Antara barang yang turut didapati hilang ialah wang tunai berjumlah RM3,600, beberapa tin susu, cokelat, gula-gula serta Panadol.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kedai berkenaan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan menunjukkan dua lelaki memakai topi keledar memasuki premis itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Hari ini, Ebit Lew menerusi status dimuat naik di akaun Facebook miliknya menyuarakan kesedihannya susulan kejadian itu.

— BERNAMA