Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal meskipun kerajaan berbelanja lebih untuk menangani kesan pandemik COVID-19 ke atas ekonomi negara.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata rangsangan ekonomi di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bernilai RM295 bilion, termasuk suntikan fiskal sebanyak RM45 bilion, telah membantu memacu ekonomi negara selepas mengalami penguncupan.

“Jika dilihat secara bulanan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah menunjukkan pemulihan daripada penguncupan sebanyak 28.6 peratus pada April, kepada 19.5 peratus pada Mei seterusnya kepada 3.2 peratus pada Jun,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Ismail Yusop mengenai status terkini kewangan negara selepas pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan serta kesan terhadap KDNK dalam menghadapi ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Mengenai moratorium, Abd Rahim berkata kerajaan telah mengkaji impak kewangan ke atas individu selepas moratorium berakhir pada 30 Sept ini dan telah mula menumpukan moratorium secara bersasar.

“Individu yang terkesan boleh berjumpa dengan pihak bank masing-masing untuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pinjaman mereka. Sekiranya mengalami masalah boleh berjumpa dengan pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit,” katanya.

— BERNAMA