Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) bersama Datuk Seri Hishammuddin Hussein (tengah). foto HAZROL ZAINAL, 08 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Malaysia komited dalam mempertahankan kedaulatan Sabah daripada dipertikai atau dituntut negara lain.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau bersetuju dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendukung pendirian kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedautalannya dalam semua badan serantau mahupun antarabangsa.

“Saya setuju @Anwaribrahim, semua mesti bersatu pertahan kedaulatan Sabah. Seperti ditegaskan sebelum ini, kita tidak akan melayan atau iktiraf tuntutan pihak asing (Filipina) ke atas Sabah.

“Kedudukan Sabah dalam Malaysia tidak boleh dipertikaikan dan akan terus dipertahankan sampai bila-bila,” katanya dalam akaun Twitter hari ini.

Dalam satu kenyataan media semalam, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan rasa tidak wajar sikap dan langkah beberapa pegawai tertinggi kerajaan Filipina yang mempersoal kedaulatan Malaysia ke atas Sabah.

Beliau menyatakan sokongan dan mendukung pendirian kerajaan Malaysia dalam memperkukuhkan kedaulatannya di semua badan serantau mahupun antarabangsa.

“Sabah jelas merupakan sebahagian dari Malaysia, ini adalah keputusan dan muafakat yang dicapai oleh rakyat Sabah pada tahun 1963,” katanya.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mengumumkan pembukaan semula pejabat di bawah Jabatan Hal Ehwal Luar yang berfungsi untuk menuntut Sabah selepas Malaysia mengeluarkan nota lisan terhadap tuntutan tersebut pada minggu lalu.

Akhbar, The Inquirer melaporkan Locsin menimbulkan isu Pejabat Hal Ehwal Borneo Utara yang tidak berfungsi itu berikutan beberapa siri hantaran dalam akaun Twitter yang mana beliau dakwa terdapat ‘tawaran berulang kali’ tuntutan ke atas Sabah digugurkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Sabah dan Mindanao dulu di bawah kesultanan Sulu. So, Sabah ada hak ke atas Mindanao dan boleh menuntut hak atas nama kesultanan Sulu.

Comments are closed.