Jabatan Penjara Malaysia khususkan masa lima hari untuk perjumpaan dengan keluarga sempena Tahun Baru Cina.

KAJANG – Enam kes baharu berkaitan Covid-19 dalam Kluster Benteng Lahad Datu yang dikesan di Penjara Tawau, Sabah semalam amat mengejutkan kerana benteng yang dibina bagi memisahkan penghuni penjara dengan dunia luar telah ditembusi.

Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma-Hasan tidak dapat membayangkan sekiranya perkara itu berlaku dalam kawasan penjara di bawah seliaannya yang kini memuatkan kira-kira 6,800 penghuni dalam satu-satu masa.

“Ini sesuatu yang baharu dan mengejutkan kerana benteng yang kita bina memisahkan penghuni penjara dengan dunia luar telah ditembusi.

“Saya sendiri secara peribadi memang takut dan bimbang tentang perkembangan ini.

“Penjara Kajang sendiri kita ada lebih 6,800 penghuni, bayangkan jumlah ini berada dalam satu persekitaran dijangkiti dengan wabak Covid-19, saya tak boleh nak gambarkan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Pengarah Penjara Kajang, Abdul Halim Ma Hasan bercakap pada Taklimat I-Kembali bersama penghuni penjara di Penjara Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2020

Terdahulu Abdul Halim menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali, Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad bagi menjayakan Program Usahasama Jabatan Penjara Malaysia bersama penghuni Penjara Kajang, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan terdapat enam kes baharu Covid-19 di Kluster Benteng Lahad Datu dikesan di Penjara Tawau, Sabah.

Menurutnya, empat pesakit yang juga banduan di penjara itu mempunyai sejarah pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu dan mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

“Kesemua banduan itu kemudian telah pulang ke Penjara Tawau pada 28 Ogos lalu dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di penjara berkenaan.

“Kesemua kes positif baharu didapati tidak bergejala dan dimasukkan ke Hospital Tawau,” katanya Noor Hisham dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Halim mengakui terdapat kekangan untuk mempraktikkan penjarakan fikizal dalam kalangan penghuni Penjara Kajang kerana tempat yang terhad.

“Mereka (penghuni penjara) tiada penjarakan sosial, memang tak boleh nak buat sebab di dalam (penjara) muatan sebenar hanyalah 3,400 orang, tapi hari ini kita kumpulkan 6,800 orang di mana lebihannya lebih 100 peratus.

“Jadi kita tidak mempunyai ruang untuk kita pisahkan (penghuni). Lebih membimbangkan apabila penghuni penjara sentiasa berubah-ubah, ada yang masuk, ada yang keluar, perkara ini amat membimbangkan kita,” jelasnya.

Abdul Halim boleh berbangga apabila Penjara Kajang setakat ini masih bebas daripada jangkitan pandemik Covid-19 meskipun keadaan penghuninya terpaksa berasak-asak akibat kekangan ruang dan tempat.

“Ini kerana pendekatan yang kita ambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga oleh Jabatan Penjara Malaysia.

“Kita telah mengadakan beberapa kaedah (pencegahan) khususnya kita buat pengasingan kepada mana-mana penghuni yang baru kita terima

“Katakanlah penghuni masuk, jadi kita akan tempatkan mereka di satu blok dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya kita dapati bahawa mereka bebas daripada jangkitan atau unsur-unsur Covid-19, barulah kita pindahkan kepada sel-sel biasa,” katanya.

Dalam masa sama, pihaknya memberi penekanan kepada kebersihan diri, dalam kalangan penghuni, anggota yang bertugas dari segi tempat tinggal, pakaian, tempat bekerja sepanjang masa berada dalam Penjara Kajang.

“Kerja-kerja sanitasi kita buat setiap hari, kita ada pasukan untuk melakukan sanitasi dari luar sampai ke dalam (penjara) dan pasukan ini melaksanakan kerja mereka setiap hari.

“Itulah kaedah yang kita lakukan hingga saat ini kita bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Alhamdulillah setakat ini kita boleh kawal keadaan ini (Covid-19),” katanya.

Selain itu, sepanjang Tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, pihaknya juga berjaya menghasilkan kira-kira 20,000 set peralatan perlindungi diri (PPE) menerusi bengkel jahit Penjara Kajang.

“Kita berjaya membekalkan PPE untuk Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

“Manakala bagi pihak berkuasa pula, kita bekalkan PPE kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast