Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Penahanan individu yang mengunjungi kelab malam dan pub masih tertinggi dalam operasi pematuhan semalam.

Daripada 46 yang ditahan di seluruh negara sehingga tengah malam tadi, 15 individu melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menyertai atau berkunjung ke private party.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 45 dari mereka telah dikenakan kompaun dan seorang direman di mahkamah untuk membantu siasatan.

Kata beliau, selain mengunjungi kelab malam dan pub, mereka yang ditahan juga didapati melakukan kesalahan ingkar ingkar arahan PKP seperti gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, premis beroperasi tanpa lesen perniagaan dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng mengawal ketat sempadan negara, pasukan keselamatan berjaya menahan 74 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan empat penyeludup.

Operasi itu, kata beliau, diadakan bagi menggelak sempadan negara terutama lorong tikus dibolosi Pati dan kegiatan penyeludupan.

“Operasi ini semalam turut membuat rampasan melibatkan lima kenderaan darat,” katanya. – MalaysiaGazette