Isham Jalil

SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa telah menyatakan supaya akar umbi UMNO menyerahkan bulat-bulat keputusan untuk menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) kepadanya dan rakan pucuk pimpinan.

Namun demikian, keputusan ini melibatkan implikasi yang besar kerana dengan penerimaan Bersatu dalam MN ini, UMNO dan BN akan terpaksa menyerahkan banyak kerusi tradisi mereka kepada Bersatu.

Besar kemungkinan, apabila kerusi ini diserahkan, ia tidak akan kembali ke tangan UMNO lagi.

Ini akan memberikan kesan yang besar kepada kelangsungan UMNO sebagai suatu parti politik yang membela orang Melayu di Malaysia dan di seantaro dunia.

Kerusi yang diserahkan ini juga berhadapan dengan risiko kekalahan yang lebih tinggi kerana tentunya ia akan ditandingi oleh bekas pelompat parti yang rata-rata akan ditolak oleh rakyat.

Jika ini berlaku, maka aspirasi untuk mewujudkan kerajaan MN pertama dalam sejarah Malaysia akan terkubur.

Sebab itu, rata-rata akar umbi UMNO tidak bersetuju dengan cadangan atau keputusan penerimaan Bersatu dalam MN serta pembahagian kerusi dengan mereka seperti di atas.

Ini bukan sahaja disuarakan di peringkat akar umbi, namun pemimpin besar UMNO di peringkat negeri dan nasional seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Shahrir Samad, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Nur Jazlan, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan ramai ketua bahagian UMNO juga menyuarakan ketidakselesaan mereka kepada cadangan atau keputusan di atas secara terang-terangan mahupun senyap-senyap.

Keputusan penerimaan dan pembahagian kerusi dengan Bersatu ini bukanlah suatu keputusan biasa, ia adalah suatu keputusan kritikal yang memberi kesan besar kepada UMNO di semua peringkat untuk jangkamasa yang panjang atau selama-lamanya.

Ia juga bukan seperti keputusan piagam MN bersama Pas dahulu, di mana rata-rata akar umbi UMNO bersetuju dengan tiada penolakan signifikan.

Oleh itu, untuk suatu keputusan yang kritikal seperti ini, saya ingin mencadangkan supaya pucuk pimpinan UMNO dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO melaksanakan satu referendum atau pungutan suara di kalangan semua ahli UMNO bagi menentukan dan menjawab persoalan sama ada mereka menerima cadangan atau keputusan penerimaan dan pembahagian kerusi dengan PPBM ini.

Dengan adanya referendum ini, maka perbincangan dan hujah-hujahan bolehlah dibuat di semua peringkat sebelum pengundian atau pungutan suara dibuat untuk menentukan baik buruk cadangan dan keputusan di atas, di samping mendapatkan persetujuan kebanyakan pihak.

Ini kerana, jika akar umbi dan ahli UMNO tidak bersetuju akan keputusan penerimaan dan pembahagian kerusi dengan Bersatu, ia dikuatiri akan menjadi satu malapetaka bagi UMNO, BN dan MN apabila pergi ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) yang akan datang.

Adalah lebih baik pucuk pimpinan mendapatkan pandangan akar umbi di masa dan peringkat ini kerana pada akhirnya akar umbi juga yang akan bekerja berpenat lelah berjuang di lapangan kelak untuk memenangkan calon kita. – MalaysiaGazette

Isham Jalil adalah Ketua Penerangan BN Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. pengkhianat perosak bangsa melayu,
    UMNO cakap xde kerjasama antara parti,tp skrg dah jadi lain,
    nampaknya UMNO secara terang2 menipu akar umbi,
    lantaklah UMNO nak buat apa pun,
    cuma jgn menyesal dgn keputusan sendiri,
    pengkhianat yg dahulu menghina,kini dtg merayu utk bekerjasama,
    namun setelah diterima,pengkhianat mula mengatur strategi,pengkhianat mula memasang jerangkap,adakah taring UMNO bakal tumpul ataupun patah???
    sama2lah tunggu UMNO atau pengkhianat yg bakal jadi dominan dalam PN di PRU15 nanti???

Comments are closed.