Penduduk mengangkat bekas air tadahan yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) setelah penduduk sekitar mengalami gangguan bekalan air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Mutiara 6, Taman Selayang Mutiara, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2020

ORANG ramai sudah muak dengan masalah pencemaran air dan masalah yang melibatkan bekalan air bersih yang berlaku dalam negara kita. Negara kita sudah pun mencapai kemerdekaannya selama 63 tahun pada 31 Ogos yang lalu dan kini kita sudah pun sampai ke tahun 2020 tapi masih menghadapi masalah untuk menyediakan kemudahan asas seperti air bersih. Masalah air ini tidak sepatutnya berlaku dalam negara tropika yang menerima hujan hampir setiap
tahun seperti Malaysia. Boleh dikatakan setiap tahun rakyat Malaysia terpaksa hadapi isu pencemaran air dan masalah bekalan air bersih dalam negara kita. Terbaru ialah masalah bekalan air yang berlaku dihampir keseluruhan negeri Selangor dan Kuala Lumpur baru- baru ini akibat daripada pencemaran air yang dilakukan oleh sebuah kilang. Akibat daripada isu ini sebanyak 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air sejak Khamis yang lalu selepas empat loji rawatan air dihenti operasi ekoran pencemaran bau yang berlaku di Sungai Gong, Rawang, Selangor.

Seperti kebiasaan, setiap kali ada isu pencemaran air dan masalah berkaitan dengan proses bekalan air bersih, maka muncull pelbagai cadangan untuk pinda akta- akta berkaitan seperti dengan menaikkan hukuman denda serta penjara kepada pihak yang bertanggungjawab melakukan pencemaran air ini serta yang menyebabkan masalah gangguan bekalan air bersih. Tidak menjadi satu kesalahan untuk meminda apa-apa akta pun bagi mengatasi masalah ini, namun fokus yang harus juga diberi tumpuan adalah aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang- undang. Tidak ada guna kalau kita meminda akta- akta berkaitan dengan menaikkan denda setinggi gunung serta mengenakan hukuman berat kepada pihak yang bertanggungjawab sekiranya proses pemantauan dan penguatkuasaan kita masih berada ditahap lemah.

Persoalan kini timbul terhadap masalah pencemaran air dan bekalan air bersih yang berlaku kini, bagaimana sebuah kilang dengan mudahnya dapat melakukan proses pencemaran ini? Adakah semua kilang dan premis yang ada dalam negara kita yang masih aktif beroperasi mematuhi sepenuhnya segala peruntukkan undang- undang dan peraturan yang telah ditetapkan kepada mereka bagi mengelakkan berlakunya sebarang proses pencemar an? Di manakah proses pemantauan? Sumber air adalah penting untuk semua manusia. Tanpa ada bekalan air yang bersih, mustahil manusia dapat hidup di atas muka bumi ini. Bekalan air ini juga menjadi lebih penting disaat negara kita sedang hadapi penularan virus Novel Koronavirus (Covid-19). Banyak kali pihak pihak
kerajaan khususnya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai untuk menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti dengan virus Covid-19 dan ini termasuklah dengan kerap dan rajin membasuh tangan. Dengan adanya masalah bekalan air bersih ini, bagaimana orang ramai mampu untuk patuhi nasihat penjagaan kebersihan ini dan mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti dengan virus Covid-19?Masalah bekalan air bersih ini juga membawa beban tambahan kepada orang ramai khususnya mereka yang mempunyai anak- anak kecil dan warga tua yang memerlukan penjagaan rapi. Akibat daripada masalah bekalan air bersih yang kerap kali berlaku ini, ia bukan sahaja menyusahkan kehidupan seharian orang ramai malah turut memalukan kedudukan negara kita di kaca mata dunia.

Kesabaran orang ramai terhadap segala masalah yang berkaitan dengan air ini ada hadnya. Memandangkan bekalan air bersih adalah isu penting dalam kehidupan setiap orang, pihak kerajaan perlu merangka satu merangka pelan jangka panjang dengan matlamat untuk mengurangkan dan menamatkan sepenuhnya isu pencemaran air dan masalah bekalan air bersih yang berlaku setiap tahun dalam negara kita. Isu pencemaran air dan masalah bekalan air bersih ini perlu dijadikan sebagai isu atau agenda nasional yang perlu diberi perhatian utama. Ia tidak boleh lagi boleh dipandang ringan dan hanya dibangkitkan hanya ketika berlakunya masalah pencemaran air dan bekalan air bersih.

Aspek pemerkasaaan proses pemantauan dan penguatkuasaan perlu diberi perhatian khusus dalam merangka pelan jangka panjang bagi atasi masalah
berkaitan dengan air ini dalam negara kita. Memandangkan masalah berkaitan dengan air ini kerap berlaku, kita tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sedia ada untuk melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan sepanjang masa. Pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah badan penguatkuasa baru yang boleh memberi tumpuan sepenuhnya terhadap isu pencemaran air dan masalah bekalan air bersih. Dengan adanya sebuah badan penguatkuasa khusus terhadap perkara ini, proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat ditingkatkan dengan lebih baik dan berkesan sekaligus menyelesaikan kemelut pencemaran air dan bekalan air bersih dalam negara kita.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast