KUALA LUMPUR – Tular dalam laman sosial media sejak lewat malam tadi gambar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama-sama info grafik isu gangguan bekalan air di Sabah.

Amirudin di dakwa telah meminta rakyat Sabah untuk mengundi dan memberikan peluang kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini bagi menyelesaikan isu air di negeri itu.

Gambar serta info grafik itu dipercayai telah tular sejak lawatan Amirudin ke negeri itu semalam.

Dalam pada itu, media melaporkan Pejabat Menteri Besar Selangor telah tampil menafikan penularan berita tersebut.

Kenyataan itu juga difahamkan oleh MalaysiaGazette sebagai palsu dan gambar keratan itu merupakan gambar lama.

Malah kejadian itu pun bukannya berlaku di Sabah.

Dalam berita tular itu juga memetik Amirudin menganggap krisis air di Selangor hanyalah isu kecil dan tidak menjejaskan kualiti rakyat di negeri tersebut.

Rakyat Selangor rata-ratanya meluahkan rasa marah dan kecewa mereka di laman sosial sejak mula berlakunya krisis air Jumaat lepas, ianya juga menyebabkan banyak berita tidak benar menjadi tular sekaligus meresahkan penduduk.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga meminta pengguna mendapatkan maklumat rasmi mengenai situasi semasa gangguan bekalan air dikeluarkan oleh pihaknya.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri memohon kepada umum supaya tidak menyebarkan apa-apa berita tidak sahih berhubung krisis serta gangguan bekalan air ketika ini.

Ini juga berikutan penyebaran satu kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan menyatakan pencemaran bau sudah terkawal dan Loji Rawatan Air (LRA) kembali beroperasi pada jam 8 malam. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast