Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kerajaan Selangor perlu menjadikan kes pencemaran Sungai Gong yang mengakibatkan 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air sebagai satu pengajaran dan bersama-sama membaiki kelemahan yang selama ini tidak ditangani dengan betul.

Ini kerana, rakyat di Lembah Klang sudah tidak mampu lagi untuk berdepan dengan krisis air yang berpanjangan tanpa noktah.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, gangguan demi gangguan yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini ibarat mimpi ngeri kepada penduduk Lembah Klang.

“Saya percaya ramai yang bimbang akan berlaku gangguan bekalan air bila bangun tidur dan tidak tahu bila air akan sampai ke rumah semula.

“Lagi pun kita bukan hidup di zaman dahulu yang serba kekurangan. Sekarang sudah tahun 2020 dan terpaksa tadah air, ini memalukan,” menurutnya.

Katanya, sudah sampai masanya ketiga-tiga pihak ini berhenti menuding jari kepada mana-mana pihak dalam aspek peranan, fungsi dan tanggungjawab masing-masing kerana sikap itu hanya mendedahkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran masing-masing di mata rakyat.

“Kita tidak menafikan berlaku perubahan dalam kerajaan tetapi itu bukan alasan masalah membabitkan rakyat tidak boleh diselesaikan.

“Lagipun, mana-mana pun menteri yang keluar (kementerian) tetapi pegawai-pegawai dan dokumen-dokumen ‘tidak dibuang’ bersama menteri yang keluar. Betul tak?

“Jangan mempolitikkan semua perkara kerana ia hanya membuat rakyat marah. Ahli-ahli politik dan pengurusan kanan kerajaan di Malaysia masih bertuah kerana kalau di luar negara, rakyat mereka akan berdemonstrasi di hadapan rumah pihak terlibat.

“Tetapi rakyat Malaysia tidak, hanya melepaskan marah di media sosial. Kita masih pegang perkara kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya yang berharap kerajaan menjadikan bekalan air sebagai satu jaminan keselamatan negara.

Pihak-pihak berkenaan perlu mencontohi bagaimana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani pandemik Covid-19 dengan begitu tersusun, tanpa ‘membuka mulut’ atau menyalahkan mana-mana pihak.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggembeleng tenaga dan pemikiran pegawai-pegawainya dalam menangani wabak paling bahaya dengan begitu baik sekali.

Menurut beliau, dalam isu pencemaran sungai, Kerajaan Selangor tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana tugas penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) ada hadnya.

PBT boleh meluluskan pembangunan tetapi dalam menjaga sungai mungkin bukan bidang kuasanya.

Walaupun Kerajaan Negeri Selangor ada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) tetapi ada batasan bidang kuasa.

“Sebab itu, Kerajaan Malaysia mewujudkan Kementerian Alam Sekitar yang di bawahnya ada JAS yang memiliki kuasa pemantauan lebih besar, sebab ia di bawah Kerajaan Pusat,” katanya.

Semua pihak kata Piarapakaran, perlu ada iltizam dan kesungguhan yang tinggi untuk menjaga ‘air muka’ Malaysia di peringkat Asia dan dunia.

Walaupun Putrajaya menjadi lokasi pentadbiran kerajaan tetapi Lembah Kelang masih menjadi nadi utama Malaysia.

Oleh itu, masalah-masalah gangguan air yang boleh menjejaskan nama negara perlu diselesaikan segera.

“Berbanding dengan Singapura, Malaysia jauh lebih baik. Walaupun Singapura maju tetapi dari segi keluasan tanah, sumber asli, infrastruktur, Malaysia jauh lebih baik. Sebab itu, Malaysia sering menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Janganlah pencapaian baik Malaysia ini dijejaskan dengan masalah-masalah yang tidak sepatutnya, contohnya gangguan bekalan air,  berlaku pula di ibu negara Malaysia.

“Ini adalah hakikat yang memalukan,” kata Piarapakaran. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.