Kumpulan K-Pop, BTS. foto Agensi

SEOUL – Sebanyak 1.4 trilion won (US$1.43 bilion) impak ekonomi dijangka diperoleh menerusi kemenangan kumpulan K-Pop terkenal BTS di Billboard Hot 100 minggu lalu, yang ditunjukkan oleh data kerajaan pada Isnin.

Minggu lalu, BTS menerusi single terbaharu berbahasa Inggeris ‘Dynamite’ muncul No.1 di carta single utama Billboard, menjadikannya penyanyi atau kumpulan Korea Selatan pertama yang mencapai kejayaan itu, lapor agensi berita Yonhap.

Menurut laporan yang diterbitkan bersama oleh Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan dan Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea, pencapaian itu dijangka menghasilkan 1.23 trilion won dalam sektor pengeluaran dan 480 juta won nilai tambah.

Kira-kira 8,000 lebih pekerjaan juga kemungkinan akan diwujudkan dengan kedudukan BTS di tempat teratas carta Hot 100 itu.

Nilainya diukur menerusi gabungan pendapatan daripada syarikat label kumpulan berkenaan Big Hit Entertainment, statistik kastam dan bank pusat, dan data Trend Google.

Kajian itu menganggarkan Bit Hit akan memperoleh sejumlah 245.7 juta won daripada penjualan global “Dynamite,” berdasarkan pendapatan daripada album kumpulan itu sebelumnya “Map of the Soul: Persona.”

Eksport barangan pengguna berikutan kemunculan “Dynamite” dijangka akan meningkat sebanyak 371.7 juta won, termasuk 276.3 juta won daripada penjualan kosmetik di luar negeri dan 74.1 juta won daripada makanan.

Kementerian itu berkata telah mengecualikan kesan kemenangan itu kepada industri pelancongan tempatan, seperti peningkatan pengunjung asing ke Korea Selatan, kerana pandemik COVID-19 telah mengganggu perjalanan ke luar negara selama berbulan-bulan dan menyebabkan pembatalan beberapa konsert.

Impak ekonomi yang dihasilkan oleh prestasi luar biasa BTS kemungkinan akan berkembang lebih luas berikutan peningkatan imej dan nilai jenama Korea Selatan kemudiannya, kementerian itu menambah.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast