Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 1.75 peratus semasa mesyuarat dasar monetari yang akan diadakan pada Khamis ini.

Standard Chartered dalam nota penyelidikannya berkata, bank pusat itu akan mengambil langkah “tunggu dan lihat” dan membuat penilaian menyeluruh terhadap kadar pemulihan ekonomi Malaysia pada separuh kedua 2020.

Katanya, BNM akan membuat penilaian menyeluruh susulan pembukaan semula ekonomi-ekonomi global dengan data menunjukkan terdapat peningkatan aktiviti manakala unjuran data ekonomi kekal tidak menentu disebabkan gangguan perintah kawalan.

“Kami percaya BNM masih mempunyai ruang untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

“Sekiranya pandemik ini berulang dan mengancam pemulihan semula aktiviti global atau tempatan dan sekiranya pelaksanaan langkah-langkah fiskal adalah lemah, BNM boleh mengurangkan lagi OPR,” kata Ketua Ekonomi bagi Asean dan Asia Tenggara, Edward Lee.

BNM telah mengurangkan OPR sebanyak 125 mata peratusan dalam empat mesyuarat terdahulu sekali gus merekodkan kadar terendah dalam sejarah.

Menurut penganalisis, sebarang pemotongan OPR lagi hanya akan menyebabkan impak marginal terhad dan mengurangkan lagi ruang dasar fiskal kerana pandemik ini masih belum berakhir.- MalaysiaGazette