Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memukul gong semasa merasmikan jentera BN pada PRN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.- Gambar ihsan FB Zahid.

KOTA KINABALU – “Kita kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat biru dan berikrar memperkukuhkan jentera di DUN dan PDM, elakkan perbalahan.”

Itu kata-kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah di sini hari ini.

Beliau mengharapkan agar jentera parti terus istiqamah dan meneruskan semangat yang tinggi itu sehingga ke tarikh pengundian nanti.

Menurut Ahmad Zahid, semangat permuafakatan yang kukuh dan komitmen yang tidak berbelah-bahagi daripada pelbagai peringkat jentera parti akan menghasilkan satu keputusan yang cukup bermakna kepada BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Justeru beliau berkata, kesepakatan daripada seluruh rakan-rakan parti komponen BN Sabah amat diperlukan.

“Semangat Biru BN akan membanjiri Sabah pada PRN nanti. Semangat kukuh pejuang BN yang bermuafakat pasti membentuk jentera yang kuat,” katanya yang dipetik dari UMNO Online.- MalaysiaGazette