Jamal Khashoggi dibunuh pada tahun 2018 tetapi mayatnya masih belum ditemui sehingga hari ini. foto Agensi

RIYADH – Tujuh individu yang terlibat dalam pembunuhan Jamal Khashoggi pada tahun 2018 dihukum penjara antara tujuh hingga 20 tahun.

Hukuman itu dijatuhkan selepas empat bulan keluarga Khashoggi memaafkan pembunuh.

Perbicaraan kes itu mendapat kritikan hebat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan hak asasi manusia kerana dalang utama pembunuhan itu masih bebas.

Khashoggi, seorang pengkritik Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman, kali terakhir dilihat berada di konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018.

Dia memasuki bangunan itu untuk mendapatkan dokumen bagi keperluan perkahwinannya tetapi tidak keluar daripada sana.

Mayatnya dilaporkan dikerat-kerat dan dibawa keluar dari bangunan berkenaan.

Sehingga hari ini mayat Khashoggi belum ditemui.

Pembunuhan itu menggemparkan dunia dan dikaitkan dengan Putera Mohammed, putera Raja Salman.

Menurut laporan media, lima individu dikenakan hukuman penjara 20 tahun, seorang 10 tahun dan dua lagi tujuh tahun.

Namun, tiada seorang pun nama tertuduh didedahkan.

Tunang Khashoggi, Hatice Cengiz yang mengulas keputusan itu berkata, hukuman penjara ke atas kelapan-lapan individu itu bukan satu-satunya yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu.

“Pihak berkuasa Arab Saudi menutup kes itu tanpa dunia mengetahui kebenaran siapa yang bertanggungjawab atas pembunuhan Jamal.

“Siapa yang dalangnya, siapa yang memerintahkannya, di mana tubuhnya?”,” tulis Hatice Cengiz dalam satu kenyataan.

Adam Coogle, wakil pengarah bahagian Timur Tengah dan Afrika Utara Human Rights Watch mendakwa proses perundangan arab Saudi telah melindungi pegawai atasan daripada segala dan semua siasatan.

“Bagaimana rejim boleh dituduh melakukan pembunuhan itu dan pada masa yang sama pihaknya bertanggung jawab atas perbicaraan?” kata Yahia Assiri, pengasas kumpulan hak asasi Arab Saudi yang berpusat di London, ALQST.

Turki, yang melancarkan perbicaraan sendiri terhadap 20 pegawai Arab Saudi pada bulan Julai, mengatakan keputusan di Arab Saudi tidak terjangkau dan mendesak pihak berkuasa negara itu untuk bekerjasama dengan siasatan Turki.

“Kami masih tidak tahu apa yang terjadi pada mayat Khashoggi, siapa yang mahu dia mati atau jika wujud kerjasama tempatan – yang menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti proses undang-undang di Arab Saudi,” kata Pengarah Komunikasi presiden Fahrettin Altun di Twitter, merujuk kepada Saudi Arab.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast