Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Setakat 28 Ogos lalu, lebih 2 juta peminjam telah dihubungi bank untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik.

Daripada jumlah ini, institusi perbankan telah berbincang dengan 1.1 juta peminjam yang telah memberi maklum balas dan hampir 300,000 peminjam telah mengesahkan yang mereka betul-betul memerlukan bantuan pembayaran balik.

Maanakala, selebihnya sedang mempertimbangkan opsyen bantuan yang disediakan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah berkata, angka ini dijangka terus meningkat dengan ketara kerana peminjam boleh memohon dengan mudah melalui pelbagai saluran yang telah disediakan.

Menurutnya, daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, 97% telah diluluskan.

Proses permohonan bagi pelanggan individu dijangka mengambil masa antara satu hingga lima hari manakala bagi perusahaan kecil dan sederhana dijangka mengambil masa antara tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank.

Mohd Shahar menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris yang bertanya jumlah kelompok bersasar termasuk kumpulan yang tiada pekerjaan kerana terjejas akibat Covid-19 yang menikmati lanjutan moratorium pinjaman.

Tambahnya,  orang ramai tidak perlu bimbang kerana fleksibiliti yang diberikan kepada peminjam sepanjang tempoh ini tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam. – MalaysiaGazette