Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77 di Putrajaya hari ini.-Gambar ihsan FB Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat dan negeri perlu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan kawasan berhutan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia selaras komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.

Ketika ini, katanya, hutan tropika di Malaysia adalah berkeluasan 18.27 juta hektar atau 55.31 peratus.

Beliau menekan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-77 hari ini.

“Khazanah hutan adalah penting dalam pembangunan sosioekonomi dan kestabilan alam sekitar selain amat mustahak untuk kelangsungan hidupan liar supaya tidak terus terancam.

“Saya juga menyuarakan kebimbangan mengenai populasi Harimau Malaya yang menurut dapatan awal Survei Harimau Kebangsaan Pertama menunjukkan hanya terdapat antara 130 hingga 140 ekor, dan jika jumlah itu menurun kepada kurang daripada 100 ekor, spesies itu akan diancam kepupusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.

Dalam usaha memperkayakan khazanah hutan pula, kerajaan akan melaksanakan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di seluruh negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Satu kerangka kewangan inovatif akan dilaksanakan bertujuan menyediakan insentif kewangan kepada semua kerajaan negeri bagi melindungi dan memelihara kawasan berhutan, katanya. – MalaysiaGazette