KUALA LUMPUR – Polis mengambil keterangan Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung tentang isu sekolah vernakular sebelum ini.

Ketua sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, keterangan itu diambil berikutan terdapat 17 laporan polis ke atas.

“Memberi keterangan berkenaan kenyataan saya selaku Ketua Pemuda Bersatu tentang isu sekolah vernakular sebelum ini (rujuk: https://wanfayhsal.my/2020/08/sekolah-vernakular-perlu-dimansuhkan-secara-berperingkat/).

“Saya difahamkan bahawa terdapat 17 laporan polis yang dibuat dari seluruh negara.

“Terima kasih IPD Sentul kerana sudi memudahkan urusan. Semoga ada sinar buat perpaduan nasional,” katanya di laman Facebook miliknya di sini hari ini.

Pada 26 Ogos lalu, Armada menggesa sekolah vernakular perlu dimansuhkan secara berperingkat.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi. – MalaysiaGazette