Wee Ka Siong

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang menunggu laporan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung siasatan kemalangan keretapi elektrik (ETS) dan komuter tiga gerabak yang bergesel berhampiran Stesen Kuang, Selangor pada Jumaat lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, laporan penuh yang disiapkan oleh APAD itu bagi mencari punca insiden tersebut, sama ada ia disebabkan oleh masalah sistem pengoperasian pengangkutan awam terbabit ataupun kecuaian manusia.

“Saya sudah dapat laporan pada hari itu juga (hari kejadian), pada keesokan malam telah dibuat kerja-kerja pembaikan dan siasatan telah dibuat oleh pihak APAD.

“Dan saya difahamkan pada kesekokan pagi ia sudah beroperasi kembali. Yang penting APAD sudah turun. Siasatan dan laporan lengkap akan dikemukakan kepada saya,” katanya pada sidang media di selepas Majlis Penganugerahan Penggreddan Institut Memandu di kementeriannya di sini, hari ini.

Jumaat lepas, seorang penumpang mengalami kecederaan apabila ETS yang dinaiki bergesel dengan komuter tiga gerabak berhampiran Stesen Kuang.

Seramai 29 lagi penumpang yang turut berada di dalam komuter dan 93 penumpang tren ETS terselamat dalam insiden itu.

Ketika nahas, tren komuter itu perjalanan dari Stesen Tanjung Malim menuju ke Stesen Sungai Buloh sebelum bergesel dengan ETS dari Stesen Padang Besar ke Stesen KL Sentral sekitar pukul 6.37 petang.

Sementara itu ketika ditanya mengenai tempoh masa yang akan diambil oleh pihak APAD untuk menyiasat, Ka Siong berkata, ia memerlukan sedikit masa untuk disiapkan.

Bagaimanapun, beliau percaya laporan lengkap mengenai insiden tersebut akan diperoleh dalam masa terdekat.

Terdahulu, pada majlis tersebut Ka Siong menyampaikan sijil penarafan penggredan lima bintang kepada 79 buah institut memandu di seluruh negara.

Sistem penggredan merupakan salah satu kaedah untuk menambahbaik sistem penyampaian dari semua aspek terutama kompetensi pemandu yang dihasilkan di semua institut memandu.

Penggredan ini secara tidak langsung akan memotivasikan institut memandu untuk lebih berdaya saing dan secara langsungnya akan memberi kesan kepada penyampaian Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang sempurna serta mencapai objektif yang telah ditentukan.

Matlamat penggredan adalah untuk menaik taraf kualiti dalam latihan pemanduan supaya dapat melahirkan pemandu yang berhemah sekaligus dapat mengurangkan kemalangan di
jalan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast