bekalan air
Sebanyak 13 kawasan sekitar ibu negara mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru yang berlaku pada 8.45 malam tadi. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan bagi membuat siasatan lebih teliti dan menyelesaikan semua isu berbangkit berhubung masalah pencemaran air dan bekalan air bersih di Malaysia.

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, melalui penubuhan RCI tersebut, satu bentuk penyelesaian yang lebih berkesan dapat dikenalpasti dan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan untuk menyelesaikan isu air yang terlalu kerap berlaku di negara ini terutamanya di kawasan Lembah Kelang.

Jelasnya, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh memberi perkenan baginda terhadap perkara tersebut jika dimohon dari pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan seperti yang jelas termaktub dibawah di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) jelas memperuntukkan bahawa Seri Paduka Baginda YDPA boleh, jika didapatinya sesuai dan manfaat berbuat demikian, mengeluarkan suatu tauliah melantik seorang Pesuruhjaya atau lebih dan memberi kuasa Pesuruhjaya itu untuk menyiasat (a) kelakuan mana – mana pegawai persekutuan; (b) penjalanan atau pengurusan mana – mana jabatan perkhidmatan awam Malaysia; (c) penjalanan atau pengurusan mana – mana institusi awam yang tidak semata–mata disenggarakan dengan kumpulan wang Negeri; atau (d) apa – apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi ”kebajikan awam”.

Perkataan kebajikan awam ini adalah luas yang boleh juga meliputi segala kemelut yang melibatkan sumber air yang banyak menjejaskan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan orang ramai.

“Dengan adanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI ini, kemelut yang melibatkan sumber air ini dapat disiasat oleh mereka yang lebih berpengalaman dan berkepakaran.

“Dengan tertubuhnya Suruhanjaya Sisatan DiRaja atau RCI terhadap perkara ini juga, ia dapat menunjukkan kepada seluruh rakyat bahawa kemelut melibatkan sumber air ini dipandang serius oleh pihak kerajaan serta perlu ditangani dengan lebih berkesan dan segera,” katanya kepada MalaysiaGazette melalui emel.- MalaysiaGazette