Bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membincangkan untuk mengenakan caj 20 sen untuk pengguna bagi pembelian dalam talian termasuk portal e-dagang.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi penjelasan itu berikutan kenyataan Timbalan Menterinya Zahidi Zainul Abidin semasa berada di Bachok, semalam.

“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat pada 8 September 2020 di Kelantan, KKMM ingin menjelaskan bahawa belum ada perbincangan untuk mengenakan bayaran perkhidmatan kepada pengguna dalam platform e-dagang (pembelian dalam talian) sebanyak 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1,000
berikutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Zahidi dilaporkan berkata kementeriannya bercadang untuk mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 20 sen untuk setiap pembelian melibatkan jumlah di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian termasuk web e-dagang.

Menurutnya, ia mderupakan antara langkah yang difikirkan boleh membantu kerajaan mengurangkan beban rakyat.

Bagaimanapun tambah beliau, pihaknya belum menetapkan pembelian minimum yang membolehkan caj perkhidmatan itu dikenakan.

“Perkara ini masih dalam perancangan peringkat kementerian sebelum dibentangkan dan pendekatan ini adalah satu langkah untuk mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat,

“”Pada masa sama, caj perkhidmatan yang dikutip itu akan digunakan untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelak scammer dan pencerobohan siber,’ ujarnya. – MalaysiaGazette