KUALA LUMPUR – Peguam Gobind Singh Deo tidak menolak kemungkinan untuk terus memberi sebarang komen mengenai perkembangan kes yang dihadapi oleh anak guamnya, Lim Guan Eng kepada pihak media dari semasa ke semasa.

Gobind bagaimanapun menegaskan, pihaknya komited untuk mematuhi perintah mahkamah agar tidak mengeluarkan maklum balas berbentuk subjudis terhadap kes projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang sedang berjalan ketika ini.

“Saya akan memberi respons dan kerap kali berlakunya kenyataan yang dikeluarkan kepada media dan media akan berikan soalan kepada saya atau anak guam saya.

“Dalam keadaan tersebut kita perlu respons dan saya rasa bila kita lihat kepada kes ini, seperti mana dapat kita lihat sekarang, memang media ada minat mendengar perkembangan kes ini.

“Dalam keadaan tersebut, kita perlu membuat kenyataan (tidak subjudis),” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, ketika prosiding sebutan semula kes Guan Eng di atas pertuduhan menerima wang suapan berjumlah RM3.3 juta, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharudin Wan Ladin membangkitkan terdapat dua aduan berkenaan wujudnya pihak pembelaan mengeluarkan kenyataan-kenyataan subjudis.

Bagaimanapun, berdasarkan dua laporan polis yang diterima Wan Shaharuddin, kedua-dua aduan itu hanya melibatkan pihak ketiga dan tiada kaitan dengan pihaknya dalam kes ini.

“Timbalan Pendakwa Raya membangkitkan dua aduan berkenaan kononnya kita keluar kenyataan-kenyataan walaupun wujudnya satu perintah daripada mahkamah supaya  tidak ada kenyataan subjudis dibuat.

“Jadi aduan itu dibawa oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya dan beliau telah kemukakan dua laporan polis berkata dengan cukup jelas bahawa ia merujuk kepada pihak ketiga bukan sesiapa yang terlibat dalam kes ini.

“Timbalan pendakwa raya juga mengatakan bahawa anak guam tidak melanggar perintah tersebut (kenyataan subjudis),” katanya lagi. – MalaysiaGazette