Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador . foto HAZROL ZAINAL, 09 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman telah mengenal pasti beberapa fakta tidak tepat mengenai dakwaan kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh dalam video ditularkan pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid pada Ogos lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, hasil siasatan dan penelitian beliau terhadap laporan akhir yang diterima daripada Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) minggu lalu menunjukkan tiada sebarang laporan yang membuktikan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh terlibat atau unsur salah laku dalam kegiatan terlarang itu.

“Ya saya telah menerima laporan itu daripada pengarah JIPS Bukit Aman dan telah menelitinya…saya mendapati beberapa perkara yang dibangkitkan dalam video tular itu kurang tepat.

“Lagipun penguatkuasaan kegiatan judi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dilakukan dengan giatnya, namun ada beberapa kelemahan dikenalpasti dalam kalangan pegawai dan anggota bawah namun ia bukan kelemahan besar.

“Cuma berlaku kelemahan dari segi tindakan susulan yang didapati kurang mantap dalam mencegah judi haram sedangkan sebanyak 400 premis diserbu dan diambil tindakan tahun lepas serta ditambah 120 lagi tindakan tahun ini.

“Tetapi ia akan dapat ditangani nanti secara berkesan tanpa masalah, lagipun ia bukan isu besar satu IPD berkenaan ‘korup’..tidak..,” katanya dalam sidang media di Cheras pagi ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir bersama Timbalannya Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan empat Pengarah baharu Jabatan di Bukit Aman dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab PDRM, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan isu berkenaan, Abdul Hamid juga menambah, dalam penelitian beliau terhadap laporan JIPS juga mendapati, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh (OCPD), Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menjalankan peranannya dengan baik.

Menurut beliau, JIPS berpuas hati dengan hasil siasatan dan mendapati tidak ada anggota dan pegawai yang hidup mewah, memiliki kekayaaan luar biasa atau diberikan ganjaran dan rasuah.

“Saya juga ambil kira beberapa kesulitan warga PDRM di Sungai Buloh antaranya bangunan pejabat di situ bertaraf balai dan kerja dalam serba kekurangan terutama membabitkan tempat kediaman.

“Hanya 11 pegawai dapat menduduki kuarters kediaman di kawasan berkenaan manakala yang lain bertabur di merata-rata tempat.

“Saya sangat memahami kekangan yang dihadapi anak buah saya dan akan jalankan siasatan seadilnya.

“Anak buah saya juga runtuh semangat selepas mereka dicaci dan dimaki hamun dalam media sosial sejak penularan video itu, ada ramai lagi pegawai dan anggota yang kerja jujur maka saya perlu mengembalikan semula semangat mereka untuk terus berkhidmat dan memperbaiki mutu tugas mereka,”ujarnya.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Ya ke..mcn tak caya je…walau apa pun. Kami hrp pdrm kerja lh krna Allah , stiap satu sen duit yg hasil drpd duit haram , akn di persoalkn olh Allh di akhirat klak..so kerja salah satu ibadah. Warga asing pati mmg ramai di sg buloh, harap pdrm, im , pbt, dpt selesaikn perkara ini dgn baik dn tgas.

  2. …SPRM, tolonglah siasat dengan adil. Ketam sentiasa mengaku berjalan lurus… Allah melihat segala yg tersembunyi dan tersirat

Comments are closed.