Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, alasan yang diberikan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk mengenakan caj pembelian dalam talian bagi menambah baik pembangunan komunikasi di luar bandar adalah tidak munasabah dan tidak logik.

Kataya, kerajaan Pakatan Harapan(PH) mampu memperuntukkan RM290 juta untuk menaiktaraf perkhidmatan kesalinghubungan internet di 152 tapak di kawasan pedalaman seluruh Malaysia tanpa mengenakan caj seumpama itu.

“Syor ini tidak masuk akal apabila matlamat menambah baik pembangunan komunikasi luar bandar memang telah diusahakan oleh kerajaan PH di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation Connectivity Plan atau NFCP).

“NFCP sebanyak RM290 juta untuk 152 tapak pedalaman di seluruh negara, dirancang khusus untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama-rata.

“Sehingga kini, Datuk Zahidi atau KKMM enggan melaporkan perkembangan dan status NFCP ini. Adakah NFCP dihentikan?

“DAP membantah keras cadangan caj perkhidmatan ini kerana pengguna telahpun membayar fi capaian internet, mengapa perlu bayar lagi caj perkhidmatan baru ini.

“Datuk Zahidi tidak harus memandang rendah, sebaliknya perlu menghormati pengguna internet dalam negara dengan memberikan penjelasan penuh, termasuk rasional syor caj perkhidmatan baru untuk pembelian atas talian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.