khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi telah membuat penyelarasan semula bagi Pelaksanaan Program Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan ekoran pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, ia melibatkan Sarawak pada 1 September lalu, Sabah pada 1 Januari depan dan Semenanjung Malaysia pada 15 Jun tahun sama.

Jelas beliau, pelaksanaan Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan penggunaan minyak sawit sebanyak 534,000 tan setahun.

“Menerusi pelaksanaan 11 Program Biodiesel B20 di sektor pengangkutan, kira-kira 1.06 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.2 juta tan karbon dioksida setara setahun,” katanya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyerahkan sijil penghargaan kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sarjan Jimstone Magian sambil diiringi timbalan I, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (kiri) dan timbalan II, Willie Mongin (dua kiri) pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPPK di Dewan Serbaguna, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 09 SEPTEMBER 2020.

Beliau berkata demikian ketika berucap majlis perhimpunan kementerian bersempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi Tahun 2020 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Khairuddin berkata, kerajaan telah melaksanakan Program Biodiesel B20 iaitu adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum dalam sektor pengangkutan secara berperingkat pada Januari lalu bermula di Langkawi pada 1 Januari lalu manakala di Labuan bermula 15 Januari lepas.

Namun jelas beliau, ianya berdasarkan kesediaan naik taraf depoh pengadunan biodiesel dengan kerjasama syarikat-syarikat petroleum. – MalaysiaGazette