Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Sarawak merekodkan satu lagi kematian akibat rabies selepas seorang lelaki berumur 51 dari Jalan Penrissen, Kuching meninggal dunia lewat petang semalam.

Pesakit dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos 2020 kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama tiga hari.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki itu juga mengalami muntah dan serangan sawan sebelum dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku padanya.

Namun, pesakit ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing.

Malah, anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti rabies tetapi tidak dilepaskan dari kawasan rumah.

Sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan ini adalah baik dan tiada perubahan tingkah laku.

Dengan pengesahan kes rabies baharu ini, jumlah kes bagi tahun 2020 adalah tiga dan semua telah meninggal dunia.

Manakala, jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang telah diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 kes; termasuk 24 kematian, kata Dr Noor Hisham. – MalaysiaGazette