Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (kiri) menyampaikan penerima surat tawaran PPR, Abu Bakar Ahmad (kanan) pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Komuniti Seni Prihatan Finas di Dewan PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2020

SUBANG – Hari yang penuh bermakna bagi 25 veteran penggiat seni apabila masing-masing ditawarkan kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas sekian lama hidup menyewa dan dihimpit kesusahan.

Impian mereka menjadi kenyataan menerusi inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Inisiatif tersebut bertujuan membantu penggiat seni memiliki kediaman mampu milik.

Bagi merealisasikan inisiatif ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya bersetuju menawarkan sebanyak 25 unit rumah PPR iaitu 19 di PPR Sri Aman di ibu kota dan enam lagi d PPR Lembah Subang 2, di Selangor kepada penggiat seni yang layak.

“Pertimbangan permohonan mereka telah melalui proses semakan silang bersama beberapa agensi kerajaan yang lain.

“Kebanyakan mereka golongan B40 akan membayar RM225 sebulan dan boleh duduk sampai bila-bila masa. Ada juga yang mahu membeli rumah kos sederhana,” katanya semasa hadir menyempurnakan majlis tersebut bersama Saifuddin.

Ujarnya, selain menawarkan rumah mampu milik kepada penggiat seni, inisiatif ini juga dilaksanakan dengan hasrat untuk mencapai objektif iaitu mewujudkan pelan pembangunan komuniti filem di lokasi-lokasi perumahan terpilih.

Antara sebahagian artis veteran yang menerima surat tawaran PPR pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) kepada Komuniti Seni Prihatan Finas di Dewan PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 SEPTEMBER 2020

“Kita juga menganjurkan program-program pembangunan modal insan yang merangkumi bengkel perfileman secara percuma di lokasi-lokasi perumahan terpilih dan Menganjurkan program mempromosikan filem tempatan melalui konsep wayang pacak dan apresiasi sinema di lokasi-lokasi perumahan terpilih,” jelas beliau.

Menurut beliau, PPR Sri Aman, Kuala Lumpur terdiri daripada 1,600 unit rumah keseluruhannya dan ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tempat letak kereta bertingkat, dewan orang ramai dan kemudahan rekreasi.

Jelas Ahli Parlimen Ampang itu lagi, PPR berkenaan telah diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2 Mac 2017 bagi pengurusan dan pengisian dengan 1,190 unit dikategorikan sebagai unit jual dan bakinya (410 unit) dijadikan sebagai unit sewaan.

“Bagi PPR Lembah Subang 2 pula, ia terdiri daripada 1,580 unit rumah di bawah pengurusan Jabatan Perumahan Negara (JPN) bermula pada tahun 2013,” katanya.

Mengulas lanjut dalam sidang media selepas majlis, Zuraida berkata sebanyak 55 permohonan telah diterima melibatkan para penggiat seni veteran negara termasuk bekas artis yang bergelut dengan kemiskinan untuk memiliki rumah sendiri.

“KPKT akan terus mencari rumah-rumah kosong di PPR dan projek lain bawah kementerian iaitu PRIMA, SPNB dan PP1M sementara saya juga ajan mengambi nama-nama artis yang berhasrat membeli rumah kos sederhana dan membantu mereka dapatkan rumah kos sederhana dan juga rendah mensasarkan kepada artis kategori B40.

“Kita ada lagi unit yang hendak ditambah untuk artis juga di sini yang mana dalam sebulan lagi 25 buah rumah lagi akan ditawarkan di PPR Lembah Subang 2 untuk mereka yang berkemampuan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pula berkata, pihaknya sedang melakukan kajian membabitkan kebajikan hampir semua artis termasuk di sebalik tabir industri hiburan yang ada di negara ini.

“Kita antaranya menunggu keputusan Bancian 2020 supaya menerusi hasil data bancian dapat mengesan hal ehwal kebajikan pelakon, penyanyi, pereka fesyen, fiksyen,bekas penari ramai banyak kumpulan termasuk staf atau kru filem yang bekerja di sebalik tabir.

“Hampir 80 peratus kakitangan industri filem adalah di sebalik tabir yang juga perlu diberi fokus utama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast