Gambar hiasan

SEBARANG tuduhan sijil atau ijazah palsu ataupun sijil atau ijazah yang diperolehi dari mana- mana universiti yang tidak wujud yang dilemparkan kepada mana- mana pihak perlu disiasat dengan teliti dan segera. Ini bagi mengelakkan sesetengah pihak daripada terus menggunakan sijil atau ijazah mereka yang tidak mempunyai nilai itu dalam negara kita. Isu sijil atau ijazah palsu ini bukan lah satu isu yang baru dalam negara kita. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, tuduhan sijil atau ijazah palsu ini mula muncul dalam negara kita. Tidak dapat dipastikan sebab-sebab utama penggunaan sijil atau ijazah palsu ini. Antara sebab- sebab yang boleh dikenalpasti adalah kerana terdesak untuk mendapatkan pekerjaan, kemunculan pelbagai jenis teknologi moden yang memudahkan proses pembuatan sijil atau ijazah palsu serta untuk tujuan melakukan aktiviti jenayah. Isu yang melibatkan sijil atau ijazah palsu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh memberi kesan buruk terhadap negara kita.

Sekiranya seseorang yang memiliki sijil atau ijazah palsu ini mendapat sesuatu pekerjaan diatas sebab sijil atau ijazah palsu yang mereka yang miliki, mereka tidak akan berupaya melakukan sebarang jenis pekerjaan kerana mereka tidak memiliki ilmu
pengetahuan dan kemahiran asas yang dimiliki oleh mereka yang dapat sijil atau ijazah yang tulen. Kesan negatif penggunaan sijil atau ijazah palsu bukan sahaja terhad terhadap diri pelaku malah turut memberi kesan kepada organisasi di mana di pelaku bekerja, kepada masyarakat sekeliling dan negara. Adalah penting untuk diketahui, penggunaan sijil atau ijazah palsu ini adalah satu bentuk kesalahan dan jenayah.

Sekiranya seseorang itu telah diambil bekerja berdasarkan sijil atau ijazah palsu ini, mereka boleh dianggap telah melakukan kesalahan besar yang boleh dikenakan hukuman berat termasuklah dibuang kerja terus oleh pihak majikan. Selain daripada dibuang kerja, kesalahan penggunaan sijil atau ijazah palsu ini juga boleh dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah dan boleh disiasat dan didakwa di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574]. Antara seksyen yang boleh dipertimbangkan untuk digunakan bagi tujuan siasatan dan pendakwaan sebarang kes yang melibatkan jenayah pemalsuan sijil ataupun dokumen ini adalah Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574]. Seksyen 463 Kanun Keseksaan [Akta 574] menyatakan tentang kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan jelas iaitu ”Barang siapa membuat sesuatu surat atau sebahagian surat palsu dengan niat hendak menyebabkan kerosakan atau bencana kepada  awam atau kepada seseorang, atau hendak menyokong apa-apa tuntutan atau hak, atau hendak menyebabkan seseorang melepaskan harta atau membuat apa-apa kontrak yang nyata atau yang disifatkan ada, atau dengan niat hendak melakukan tipuan atau supaya tipuan boleh dilakukan, adalah melakukan pemalsuan”.

Seksyen 465 Kanun Keseksaan [Akta 574] pula memperuntukkan hukuman terhadap kegiatan jenayah pemalsuan ini dengan
menyatakan bahawa ”Barang siapa melakukan pemalsuan hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya”. Oleh yang demikian, adalah penting supaya isu penggunaan sijil ataupun ijazah palsu ini dipandang serius oleh semua pihak dalam negara kita. Semua pihak perlu elakkan diri mereka daripada menggunakan sebarang jenis dokumen palsu dalam kehidupan mereka.

Ia bagi mengelakkan diri mereka yang terlibat daripada menyesal dikemudian hari kerana boleh berdepan dengan hukuman yang berat dan boleh menjejaskan reputasi serta masa depan mereka.Pihak majikan perlu memainkan peranan mereka dengan meneliti segala dokumen, sijil ataupun ijazah yang diberikan kepada mereka. Pihak majikan tidak boleh memandang ringan terhadap perkara ini kerana ia melibatkan reputasi organisasi mereka. Bahagian sumber manusia di setiap sektor pekerjaan perlu menjalankan proses pengesahan teliti terhadap semua jenis dokumen, sijil ataupun ijazah yang telah diberikan oleh pekerja bagi memastikan setiap dokumen, sijil ataupun ijazah yang telah diberikan oleh setiap pekerja mereka adalah sah serta diperakukan untuk penggunaannya dalam negara kita. Tidak boleh wujud sebarang kompromi dalam soal pengesahan sijil ataupun ijazah akademik ataupun kemahiran yang dimiliki oleh seseorang individu dalam negara kita.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)