Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) diiringi Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan (kiri) ketika mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak mahu membincangkan polemik pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin hanya untuk melihat siapa bersalah dalam hal itu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, semua pihak khususnya kerajaan perlu melihat perkara ini dalam perspektif lebih luas betapa buruknya jaringan telekomunikasi dan capaian internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar.

“Veveonah ini dia hanya mewakili cerminan apa yang berlaku di banyak tempat sebenarnya di seluruh Malaysia.

“Tanpa suara Veveonah, mungkin isu jurang digital tidak hangat dibincangkan sekarang.

“Suara Veveonah mewakili suara pelajar luar bandar yang terperangkap dengan jurang digital, suara ini mungkin pembuat dasar terlepas pandang sebelum ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika hadir pada Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 SEPTEMBER 2020.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dalam perbahasan di Parlimen mendakwa remaja itu tidak menjawab sebarang peperiksaan ketika rakaman video memanjat pokok itu dibuat.

Menurut Zahidi, maklumat yang diterimanya mengenai Veveonah diperoleh daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga timbalan menteri kewangan 1.

Veveonah, dari Pitas, Sabah, menjadi perhatian pada Jun lalu susulan videonya terpaksa memanjat pokok di kampungnya semata-mata untuk mendapatkan capaian internet yang baik dalam membolehkan beliau menjalani ujian, tular di internet.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memandang serius perkara itu kerana jurang digital menjadi penghalang kepada proses pembelajaran masa ini yang semakin bergantung kepada capaian internet berkelajuan tinggi.

Sehubungan itu, pihaknya mencadangkan kerajaan lebih giat mengenal pasti jurang capaian dan memastikan cakupan rangkaian 4G meliputi kawasan penduduk luar bandar supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus digital.

“Penyelesaian kepada masalah ini adalah dengan meningkatkan juga infrastruktur jaringan telekomunikasi kawasan-kawasan luar bandar.

“Ia selaras dengan apa yang digariskan dalam pelan jaringan digital negara yang telahpun dilancarkan sebelum ini,” katanya.

Pergerakan Pemuda UMNO juga menggesa kerajaan mempertimbangkan dari segi pelaburan bagi pembinaan infrastruktur untuk menyelesaikan masalah jurang digital ini.

“Ia hendaklah dibuat berdasarkan sejauhmana ia dapat membantu meningkatkan kesejahtera rakyat di luar bandar bukan bersandarkan kepada keuntungan semata-mata.

“Kita tak mahu membincangkan polemik siapa yang bersalah dalam hal ini, kita maju ke depan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast