PUTRAJAYA – Tiga penguat kuasa berpangkat Timbalan Pegawai Imigresen Gred KP19 termasuk seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat atas kesalahan rasuah.
Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini untuk proses permohonan perintah reman pagi ini.
Mereka dibawa ke mahkamah oleh beberapa pegawai SPRM sekitar jam 9.50 pagi menaiki dua kenderaan Toyota Fortune warna perak dan Proton Persona coklat dalam keadaan tangan bergari di hadapan.
Sejam kemudian, mereka dibawa keluar sebelum meninggalkan premis menaiki kenderaan yang sama.
Majistret Shah Wira Abdul Halim yang mendengar permohonan membenarkan ketiga-tiga pegawai berkenaan termasuk seorang wanita direman lima hari sehingga 14 September ini.
Ketiga-tiga suspek bertugas di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan berusia 33 hingga 35 tahun.
Mereka disyaki menerima sejumlah wang suapan bagi tujuan mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing untuk kembali ke negara asal tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO).
Menurut sumber, ketiga-tiga pegawai berkenaan ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 5.50 petang di SPRM Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan.
Jelasnya, kegiatan pemberian pas kepada warga asing tanpa proses STO tersebut dipercayai telah beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mana pegawai imigresen terbabit berurusan dengan orang tengah bagi menguruskan pengeluaran pas bagi warga asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini untuk kembali ke negara asal mereka.
Tambahnya, sebagai balasan, pegawai-pegawai imigresen berkenaan dikatakan mengambil suapan antara RM300 hingga RM500 bagi setiap pas yang telah dikeluarkan tanpa melalui STO.
Semalam, dua individu termasuk seorang pegawai imigresen turut direman lima hari bagi membantu kes yang sama.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette