Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STAR) Sabah, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan bercakap kepada media selepas pengumuman senarai 29 calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri Sabah di Bangunan Bersatu, Alamesra, Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jefrey Kitingan menerima baik agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk partinya meskipun menerima hanya lapan sahaja daripada 15 yang diminta sebelum ini.

Jefrey berkata, beliau sedar jumlah kerusi yang boleh ditandingi STAR terhad kerana  perlu mempertimbangkan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding kali ini.

Katanya lagi, perkembangan tidak akan menyebabkan STAR meninggalkan PN.

“STAR perlu terima sebab kita satu pasukan. Sebab PN ditubuhkan atas kami juga.

“Sebab kerusi ini terhad jadi kita kena ‘give and take’,” katanya selepas pengumuman calon PN di Pejabat Bersatu yang dibuat oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Seramai 29 calon diumum di atas tiket PN dengan Bersatu (19), STAR (lapan) manakala dua untuk Parti Maju Sabah (SAPP).

Berdasarkan pengumuman untuk calon PN hari ini, tidak ada kerusi yang diberikan untuk Pas.

Untuk rekod Pas sebelum ini dilaporkan menyuarakan hasrat ingin bertanding di 10 kerusi DUN pada PRN Sabah kali ini. – MalaysiaGazette