PILIHAN raya adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang amat penting untuk sesebuah negara yang merdeka dan berdaulat yang mana rakyat diberi hak, ruang dan peluang secara bebas untuk memilih dan menentukan parti mana yang layak
memerintah negara. Justeru setiap rakyat yang layak wajib mendaftar dan keluar mengundi ketika pilihan raya diadakan. Justeru pendedahan bahawa seramai 4.2 juta penduduk di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, masih
belum mendaftar sebagai pemilih agak mengecewakan dan juga membimbangkan. Angka itu mewakili 22% daripada jumlah rakyat Malaysia yang kini layak untuk memilih.
Situasi ini sebenarnya menunjukkan masih ramai lagi rakyat kita bersikap sambil lewa, tidak peduli dan leka. Walaupun masing-masing menyedari kepentingan untuk mendaftar sebagai pengundi sekali gus menunaikan tanggungjawab ketika pilihan
raya namun kelompok ini masih degil dan tidak ambil serius perkara ini. Hal ini kerana penulis cukup yakin dengan segala kempen kesedaran yang telah dilaksanakan dan peluang pendaftaran yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini. Agak mustahil jika masih ada yang mengatakan tidak tahu bagaimana untuk mendaftar, tidak tahu di mana boleh mendaftar, atau lebih teruk lagi tidak tahu kepentingan untuk mendaftar mahupun merungut tiada ruang atau sukar untuk mendaftar. Percayalah itu semua adalah alasan kita semata-mata.
Oleh itu penulis berpandangan antara punca utama yang menyumbang kepada isu ini ialah sikap tidak tanggungjawab rakyat kita yang masih acuh tak acuh dan terus memberikan seribu satu alasan. Antara alasan yang paling klise ialah terlalu sibuk dan tiada masa untuk mendaftar ataupun memilih jalan lebih selamat dengan alasan tidak berminat dengan politik. Ini menyebabkan mereka tidak mendaftar dan yang mendaftar pula tidak keluar mengundi. Golongan ini perlu sedar betapa ini bukan
soal tiada masa ataupun hendak menunjukkan minat terhadap politik tetapi ini adalah hak dan tanggungjawab kita terhadap masa depan masyarakat dan juga negara. Perlu ingat, menyesal dahulu ada pendapatan dan menyesal kemudian tiada gunanya. Apakah kita sanggup menggadaikan masa depan anak cucu dan negara kita? Sedarlah setiap undi itu ada nilai signifikan yang cukup tinggi dan kita perlu memanfaatkan undi tersebut sebaik yang mungkin.
Ironinya, negara kita telah melalui 14 siri pilihan raya umum dan sewajarnya masyarakat sudah boleh menilai betapa pentingnya setiap undi kerana boleh menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Ini adalah tugas dan tanggungjawab hakiki setiap warganegara, kita tidak boleh memberikan sebarang alasan atau mengelak daripadanya.
Dalam konteks ini setelah mengambil kira keadaan semasa serta kedudukan politik di negara kita, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bakal diadakan pada bila-bila masa saja dilihat sebagai detik yang sangat kritikal kepada kita semua. Pelbagai
peristiwa yang berlaku selepas PRU14 termasuk perubahan tampuk kepimpinan dan peralihan kerajaan pada Mac lepas telah mencetuskan situasi politik yang agak tegang dan kedudukan kerajaan dalam keadaan yang cukup mencabar. Jadi semua
pihak ternanti-nantikan PRU15 supaya dapat mengembalikan hak dan mandat kepada rakyat bagi memilih parti yang benar-benar layak untuk memerintah.
Jadi sikap 4.2 juta orang rakyat yang tidak mendaftar lagi ini boleh menjejaskan hasrat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil. Kita tidak mahu golongan ini hanya berani berkokok di laman sosial dengan mengemukakan pelbagai komen dan aduan, sebaliknya inilah platform demokrasi yang paling sesuai untuk kita menterjemahkan segala isi hati supaya dapat memilih wakil rakyat yang layak dan boleh membuat kerja.
Jadi penulis ingin berpesan kepada 4.2 juta individu ini terutamanya golongan muda yang masih belum mendaftar segeralah berdaftar dan bersedialah dari sekarang untuk melaksanakan dan menunaikan tanggungjawab anda terhadap masyarakat dan juga negara. Ingat PRU15 bakal diadakan tidak lama lagi dan ianya dilihat ibu segala pilihan raya yang bakal menentukan masa depan dan hala tuju negara ini.
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa