Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, DCP Zainudin Ahmad menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang media di Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah membabitkan dua sindiket dadah untuk kegunaan pelanggan parti liar di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu akhirnya tumpas.

Ia berikutan tertangkapnya 17 ahli sindiket yang terdiri daripada warga tempatan dan termasuk empat wanita yang mana dua daripadanya warga Vietnam dalam dua operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Selangor dan Kuala Lumpur pada 8 dan 9 September lalu.

Timbalan Pengarahnya, Datuk Zainudin Ahmad berkata, turut ditahan adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dan seorang wanita warga Vietnam masing-masing disyaki ketua kedua-dua sindiket tersebut.

Katanya, menerusi serbuan itu polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 96 kilogram yang dianggarkan bernilai RM5.16 juta selain turut membongkar sebuah makmal memproses dadah.

“Dalam operasi pertama pada 8 september jam 3.30 pagi polis berjaya melakukan enam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dan berjaya menangkap lima ahli sindiket warga tempatan berumur 42 hingga 49 tahun termasuk dua wanita berusia 35 dan 36 tahun selain merampas pelbagai jenis dadah dan membongkar makmal haram memproses dadah

“Ujian saringan awal urin mendapati tiga suspek positif dadah dan dua lelaki mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

“Turut dirampas pelbagai jenis dadah iaitu 43.56 kg ketamin, 154.22 gram syabu,34.8 gram pil eramin 5, pil ekstasi, ganja dan peralatan memproses dadah bernilai RM2.25 juta dan wang tunai RM63,350,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut di Dewan Theatrette Bukit Aman petang ini.

Dalam serbuan sama, turut disita empat kenderaan mewah Audi, Toyota, Velfire, Toyota Camry dan Honda Civic, dua utas rantai emas, tiga bentuk cincin, dua pasang subang seutas gelang tangan dan tujuh utas jam tangan berjenama antaranya Rolex dan Tissot.

Zainudin berkata, pihaknya turut melancarkan sembilan lagi serbuan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 9 September lalu dan berjaya menahan 10 lagi ahli sindiket warga tempatan termasuk dua wanita berusia 28 hingga 59 tahun dan dua wanita warga Vietnam berusia 35 dan 41 tahun.

Menurut beliau, hasil ujian saringan awal urin mendapati dua orang positif dadah Ketamin manakala lima lelaki warga tempatan mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Hasil tangkapan mereka, ujarnya polis berjaya merampas 1.4kg syabu, 32.72 kg serbuk dadah MDMA 11.43 kg pil ekstasi, 2.9 kg Eramin 5, 3.3kg ketamin dan peralatan memproses dadah kesemuanya bernilai RM2.91 juta dan nilai sitaan harta berjumlah RM1.2 juta

“Selain itu turut dirampas wang tunai RM393,905, wang tunai dolar Amerika $115, 13 buah kenderaan pelbagai jenama, sebuah motosikal dan pelbagai barang kemas dan lima utas jam tangan berjenama.

“Hasil siasatan awal mendapati penglibatan wanita Vietnam adalah sebagai teman wanita salah seorang ahli sindiket warga tempatan dan mempunyai maklumat mengenai pengoperasian aktiviti pengedaran dan pemprosesan dadah kedua-dua sindiket itu.

“Makmal dadah itu dikesan beroperasi di sebuah rumah kediaman di Damansara dan urusan jualan dadah itu adalah secara kecil-kecilan menerusi WhtsApp dan pelbagai platform media sosial tetapi secara meluas selama ini.

“Kita sedang dalam proses memburu serpihan atau saki baki individu yang disyaki berkaitan dengan kedua-dua sindiket itu yahng masih bebas di luar sana memandangkan ia adalah rangkaian besar yang perlu dicegah sepenuhnya,” ujar beliau.

Zainudin berkata, kesemua mereka direman sehingga 17 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-MalaysiaGazette