Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata ke atas seorang pensyarah wanita semalam berjaya ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, jam lebih kurang 10 pagi, pihaknya telah menerima satu laporan kejadian samun bersenjata pisau berdekatan Jalan Ritchie Off Jalan Ampang.

Katanya, mangsa adalah seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan bekerja sebagai pensyarah di sebuah sekolah antarabangsa yang di Jalan Ampang Hilir.

“Pada jam lebih kurang 6.30 pagi hari yang sama, mangsa berjalan kaki sendirian dari rumahnya menuju ke tempat kerja yang jaraknya lebih kurang 250 hingga 300 meter.

“Secara tiba tiba, seorang lelaki bersenjatakan pisau datang dari arah hadapan dan mengarahkan mangsa menyerahkan semua barangan berharga sebelum wanita dalam keadaan terkejut dan ketakutan itu telah menyerahkan sebuah telefon bimbit, sebuah laptop dan wang tunai RM40 kepada suspek.

“Beberapa orang awam yang lalu di tempat kejadian telah cuba membantu mangsa tetapi suspek yang terkejut dengan kehadiran orang awam melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Rajab Ahad, dalam insiden itu, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis.

Bertindak atas maklumat kes, sepasukan polis Wangsa Maju dengan bantuan Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur berjaya mengesan lokasi suspek tersebut.

“Polis berjaya menjejaki dan menahan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah yang terletak di Jalan Kampung Pandan selepas disyaki terlibat dengan kes tersebut manakala sewaktu tangkapan berjaya menemui semula sebuah telefon bimbit milik mangsa.

“Suspek telah ditahan reman selama lima hari sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397
Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Rajab Ahad berkata, kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya.

Beliau turut merakamkan setinggi penghargaan kepada awam yang membantu polis sehingga tertangkapnya suspek sambil menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Untuk menyalurkan maklumat berkaitan kes berkenaan, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes ini iaitu Inspektor Megat Mohd Faris Megat Shaffari di talian telefon bimbit 019- 454 3002 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Sharizal Saleh di talian 017- 713 4705 ataupun talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” tegasnya.-MalaysiaGazette