KABUL – Rundingan di antara Taliban dan kerajaan Afghanistan yang tertangguh sekian lama akan dimulakan pada Sabtu ini di Qatar, kata pegawai kanan kerajaan sekali gus menandakan satu era baharu dalam perang selama 19 tahun ini.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dijangka terbang ke Doha bagi menghadiri pembukaan rundingan yang disokong Amerika Syarikat (AS) itu susulan langkah Presiden Donald Trump yang mahu menunaikan janjinya untuk menghentikan ‘perang tanpa penghujung’ negara berkenaan, dua bulan sebelum beliau menghadapi pilihan raya.

Rundingan tersebut pada asalnya dijadualkan pada Mac tetapi telah beberapa kali tertangguh disebabkan pertikaian berhubung pertukaran banduan termasuk membebaskan ratusan pejuang Taliban.

Taliban kerajaan Afghanistan dan kerajaan Qatar kesemuanya mengesahkan pada Khamis yang rundingan tersebut akan bermula Sabtu ini selepas majlis perasmian di Doha.

Pompeo dalam kenyataannya berkata, rundingan tersebut merupakan peluang bersejarah untuk mengakhiri peperangan dan pertumpahan darah sejak hampir dua dekad itu.

“Ini peluang yang tidak boleh dilepaskan,” katanya. – Agensi