Datuk Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang berlangsung ‘tenang’ tanpa sebarang insiden kekecohan semalam, jelas menunjukkan tahap kematangan berpolitik dalam kalangan wakil rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau berkata, kematangan itu bukan hanya hadir daripada 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, malah melibatkan 27 ADUN pembangkang.

“Ia (kematangan berpolitik) selalu berlaku di Johor. Saya amat yakin dan percaya bahawa kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang) ingin meletakkan kepentingan rakyat lebih utama daripada berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perjalanan persidangan DUN Johor semalam, selepas merasmikan ‘Lego Mural’ untuk menghargai petugas barisan hadapan COVID-19 di Taman Tema Legoland, hari ini.

Sebelum ini, ramai pihak meramalkan akan berlaku kekecohan dalam sidang itu berikutan tindakan ADUN Kempas Datuk Osman Sapian yang dipercayai berkempen untuk calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Perak baru-baru ini.

Selain itu, bekas menteri besar itu juga dilihat sering menghadiri beberapa program parti baharu, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang digagaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sidang DUN Johor berlangsung selama dua hari bermula semalam, akan berakhir Ahad ini.- BERNAMA