Polis Diraja Malaysia (PDRM) memindahkan seorang jurulatih sebuah pusat latihan polis untuk menjalankan tugas am pejabat selepas dia didakwa mengeluarkan kenyataan jelik terhadap pelatih wanita.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu di Lembah Klang yang didalangi warga tempatan dengan tertangkapnya tiga lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pasukan narkotik melaksanakan operasi khas sekitar jam 2.30 petang semalam sebelum menahan ketiga-tiga lelaki berkenaan.

“Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 hingga 32 tahun dan ditahan di sebuah tempat letak kenderaan di Jalan Genting Kelang, Setapak.

“Hasil pemeriksaan terhadap mereka polis berjaya menemui dadah disyaki syabu atau Methaphetamine anggaran berat 2,060 gram atau 2.06 kilogram,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Tambah Adnan, rampasan dadah itu adalah bernilai RM80,000 dan boleh digunakan untuk 2,060 pengguna dadah.

Menurutnya, hasil semakan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersangkut dengan dadah dan jenayah.

Sementara katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek berkenaan dikesan positif dadah syabu.

“Ketiga-tiga mereka telah direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 September ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahannya,” ujar beliau.

Beliau memaklumkan kesemua suspek bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran syabu sejak dua bulan lalu dan ketiga tiga mereka aktif kegiatan mengedar syabu di pasaran sekitar Lembah Klang.

“Dengan kejayaan tangkapan ketiga-tiga suspek itu, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette