KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sekali lagi menafikan dakwaan kononnya pengurusan Tabung Haji (TH) di zaman beliau telah memberikan hibah dengan menggunakan duit pendeposit.
Bekas Pengerusi TH itu menegaskan, dakwaan sebuah media arus perdana menerusi laporan khas itu semalam, amat salah dan menghina institusi tersebut.
Beliau berkata, keuntungan operasi TH pada tahun 2017 adalah sebanyak RM3.391 bilion, iaitu lebih tinggi dari jumlah hibah yang diagihkan kepada pendeposit RM3.324 bilion.
“Ini bermakna terdapat baki keuntungan sekitar RM67 juta yang dimasukkan ke dalam Rizab TH, manakala laporan polis ke atas saya berkenaan penyelewangan dana Yayasan Tabung Haji sebenarnya tidak berkaitan dengan satu sen pun duit pendeposit.
“Dakwaan bahawa dana Yayasan Tabung Haji digunakan untuk aktiviti mempunyai kecenderungan politik adalah suatu tuduhan jahat dan fitnah yang tentunya telah saya perjelaskan sewaktu siasatan dibuat ke atas saya.
“Begitu juga dakwaan berkenaan penjualan TH Indo Plantation pada tahun 2012. Ia berlaku sebelum saya menjadi Pengerusi TH dan urusniaga tersebut sebenarnya memberi keuntungan hampir RM1 bilion kepada institusi itu,” katanya menjawab laporan khas sebuah media menerusi hantaran akaun Facebooknya, hari ini.
Media itu melaporkan, setakat akhir 2019, jumlah pendeposit TH adalah 8.75 juta orang dengan nilai tabungan mencecah hampir RM74 bilion.
Bagaimanapun, pada 2018 terdapat dakwaan mengenai kedudukan kewangan yang ketika itu di bawah Pakatan Harapan (PH), berdepan defisit RM4.1 billion bagi tahun kewangan 2017 dengan jumlah aset RM70.3 bilion, berbanding jumlah liabiliti RM74.4 bilion.
Dapatan siasatan dalaman ketika itu merumuskan dividen atau hibah yang dibayar oleh pendeposit menggunakan simpanan pendeposit itu sendiri. Dakwaan itu adalah hasil siasatan dalaman oleh firma audit, PwC.
Sebelum pendedahan ini dilakukan, dua laporan polis sudah dibuat TH, yang pertama berkaitan dana RM22 juta Yayasan Tabung Haji yang digunakan bagi aktiviti mempunyai kecenderungan politik.
Laporan kedua pula berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting mengenai penjualan saham TH pada 2012 dalam PT TH Indo Plantations kepada PT Borneo Pacific, syarikat perladangan di Indonesia.
Abdul Azeez mendakwa, beliau tidak pernah dibicarakan walaupun 22 bulan PH memerintah dan menyifatkan tuduhan itu tidak berasas, selain cubaan tidak bermoral bagi membunuh peribadinya.
“Saya hairan apabila laporan akhbar ini cuba menggembar-gemburkan keuntungan TH pada zaman PH sebagai bukti kejayaan pelan penstrukturan mereka.
“Hakikatnya, jumlah keuntungan itu sebenarnya jauh lebih rendah daripada zaman saya. Sebagai contohnya, keuntungan bersih RM1.6 bilion yang dicapai pada 2018 adalah terlalu sedikit banding keuntungan RM3.4 bilion pada tahun terakhir saya sebagai Pengerusi (2017)
“Sesuatu yang perlu rakyat tahu juga adalah dari keuntungan RM1.6 bilion itu, hanya RM210 juta sahaja merupakan keuntungan nyata,” katanya.
Bakinya, kata Ahli Parlimen Baling itu, adalah keuntungan tidak nyata yang berlaku selepas pemindahan (penjualan) aset.
“Dalam bahasa mudahnya, duit itu tidak dapat pun lagi! Ini semua ditulis dalam laporan Ketua Audit Negara, malahan sukuk yang diterbitkan oleh UJSB juga dinyatakan adalah tanpa jaminan kerajaan,” katanya.
Abdul Azeez berkata, kelemahan itu adalah antara punca kenapa pendeposit hanya mampu mendapat pulangan hibah 1.25 peratus pada tahun tersebut iaitu yang terendah dalam sejarah.
“Saya akui sememangnya pada zaman saya, TH telah banyak terlibat dalam pelaburan saham dan komoditi. Kedua-duanya adalah segmen pelaburan yang dianggap berisiko tinggi walaupun berpotensi memberikan pulangan lumayan.
“Tetapi, saya nak ingatkan bahawa kedua-dua pelaburan ini tidak pernah gagal pada zaman saya kerana kerajaan pada ketika itu sangat menjaga harga komoditi sawit dan prestasi pasaran saham BSKL,” ujarnya.
Beliau berkata, disebabkan itu, TH Plantation Berhad iaitu cabang syarikat perladangan TH sentiasa konsisten mencatatkan keuntungan setiap tahun sejak dari awal penyenaraiannya di BSKL.
Katanya, TH Plantation rugi kali pertama sebanyak RM678,111,000 pada tahun 2018 iaitu tahun pertama PH memerintah dan masih bergelut untuk mencatat keuntungan disebabkan ketidakcekapan pengurusan lantikan PH.
Malah, mereka kini lebih cenderung untuk menjual secara lambak ladang-ladang milik institusi umat islam ini dengan harga yang sangat murah.
Begitu juga, menurut Abdul Azeez, dengan pasaran saham, pelaburan TH di BSKL secara umumnya sentiasa mencatat keuntungan disebabkan prestasi memberansangkan pasaran saham negara.
“Sebab itu, BSKL dianggap sebagai The World Longest Bull Market (Pasaran saham paling menguntungkan di dunia) pada zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak. Apabila PH memerintah, BSKL dianggap sebagai pasaran saham terburuk dunia oleh Bloomberg pada Mei 2019.
“Saya tiada masalah, malah menyokong sepenuhnya penubuhan RCI. Namun, saya beranggapan, siasatan menyeluruh termasuk pada zaman PH dan PN juga perlu dilaksanakan bagi memberikan keadilan buat semua.
“Sekiranya RCI ditubuhkan, saya menawarkan diri untuk menjadi individu pertama disiasat bagi membuktikan kebenaran dan hakikat sebenar yang berlaku di dalam institusi Tabung Haji pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette