KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) akan membuka 10 cawangan pada dua Sabtu berturut-turut sebagai langkah proaktif bagi memudahkan urusan para pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran semula pasca moratorium.

Tempoh moratorium automatik sedia ada akan tamat pada 30 September 2020.

Peka dengan persekitaran ekonomi yang mencabar, Bank Islam menawarkan bantuan pembayaran semula bersasar kepada pelanggan individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (“PKS”) yang terjejas akibat Covid-19, kata Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed.

“Kami memahami bahawa sesetengah pelanggan mungkin menghadapi kesukaran untuk datang ke cawangan pada waktu operasi biasa. Justeru, kami telah mengambil inisiatif untuk membuka 10 cawangan seluruh negara pada hari Sabtu, 12 dan 19 September 2020, dari pukul 10 pagi hingga 3 petang, untuk khidmat rundingan dan penyerahan permohonan bantuan pembayaran semula pasca moratorium,” katanya.

Menurutnya, Bank Islam sentiasa bersedia untuk memastikan keperluan kewangan pelanggan dijaga dan mereka berupaya mengharungi persekitaran mencabar ini.

Apa yang perlu dilakukan pelanggan hanyalah datang dan berbincang dengan kami, tambahnya.

Pembukaan cawangan itu ialah di Shah Alam, Selangor (Wisma PKPS, Seksyen 14), Kuala Terengganu dan Terengganu (Bangunan MAIDAM); Kota Bharu, Kelantan (Jalan Sultan Yahya Petra); Seremban, Negeri Sembilan (Kompleks MAINS); Ayer Keroh, Melaka (Kota Fesyen-MITC); Tampoi, Johor (Jalan Padi Emas 5/2), Ipoh, Perak (Kompleks Islam Darul Ridzuan) dan Klim, Kedah (Taman Kulim Avenue, Kulim Hi-Tech).

Sementara di Sarawak pula di Kuching, (Jalan Kulas) dan Sabah, di Bangunan UMNO Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast