MUNGKIN agak sukar untuk kita membudayakan prosedur operasi standard (SOP)
yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis
Keselamatan Negara (MKN) di tempat kerja. Namun, nak tak nak semua yang
bergelar pekerja wajib mentaati SOP pada setiap masa di pejabat.
Bagi yang bergelar majikan pula, terletak atas ‘batu jemala’ mereka tanggungjawab yang besar untuk memastikan semua pekerja sentiasa patuh terhadap SOP yang ditetapkan. Tiada siapa boleh mengelak atau beri alasan untuk tidak mahu mengikut SOP. Daripada seorang menteri, sehinggalah ke pencuci pejabat, masing-masing punya tanggungjawab untuk patuh kepada SOP.
Selagi pandemik Covid-19 ini tidak lenyap, selagi itulah para pekerja dan orang
awam wajib menjadikan SOP ini sebagai salah satu norma baharu hidup kita. Jika
berlarutan selama 50 tahun, maksudnya 50 tahun kita perlu berada di dalam SOP
cegah Covid-19 ini (minta dijauhkan).
Suka atau tidak, kita tidak boleh lari untuk akur kepada pandangan Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba baru-baru ini. Menurut Dr Adham, dari pengalaman petugas kita mendepani penularan Covid-19, pakar-pakar kawalan penyakit menjelaskan orang ramai hendaklah mengelakkan bersentuhan dengan orang lain jika tidak perlu.
Oleh sebab itu, Menteri Kesihatan menyebut bahawa kita bukan sahaja tidak boleh
bersalaman atau berjabat tangan, amalan fists bump atau dalam bahasa biasa
“melaga penumbuk”, high-5 atau give me 5, menyentuh lengan, siku atau mana-
mana bahagian tubuh juga boleh menjadi sebab untuk penyebaran dan penularan
virus maut Covid-19.
Khususnya di pejabat, memadailah kita sekadar memberi salam, ucapan selamat
pagi atau petang atau hello/ hai, atau “Salam Covid” dengan meletakkan tangan di
dada atau isyarat fists bump sahaja sebagai mengeratkan silaturahim, atau tanda
hormat.
Bayangkan jika 1.6 juta penjawat awam dan 8 juta pekerja sektor swasta tidak patuh kepada SOP di pejabat, apa akan berlaku kepada negara kita sekiranya wabak Covid-19 ini berjangkit dari seorang kepada seorang yang lain?
Sekiranya sesebuah pejabat itu dijangkiti wabak ini, prosedurnya pejabat berkenaan terpaksa ditutup. Para pekerja wajib menjalani saringan berkala dan kuarantin di rumah masing-masing. Ini akan menyebabkan produktiviti pejabat berkenaan menjunam teruk. Apatah lagi mereka yang berada di sektor swasta.
Pasti mereka yang berada di sektor swasta tidak mahu kembali ke Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ‘memaksa’ kita berkurung di dalam rumah. Ia bukan sahaja merencatkan aktiviti perniagaan sektor swasta, malah turut mengganggu graf ekonomi negara ini.
Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya
melahirkan kebimbangan sekiranya penutupan semula sektor ekonomi akibat PKP,
kerana ia boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 bilion
sehari. Kadar pengangguran negara meningkat ke paras 5.3 peratus pada Mei dengan pertambahan bilangan penganggur seramai 826,100 orang.
Kebimbangan Perdana Menteri ini juga turut disokong oleh kebanyakan Ahli
Ekonomi dalam negara kita. Ia jelas akan membuatkan keadaan kita semakin tenat. Justeru, orang awam dan para pekerja harus bersama menjadi ‘frontliners’ dengan patuh kepada SOP di pejabat dan tempat-tempat yang berisiko.
Cukuplah kita semua ‘terkurung’ di rumah pada 18 Mac hingga 9 Jun 2020 yang lalu. Biarkan PKP Pemulihan (PKPP) ini terus membenarkan sektor swasta merancakkan semula aktiviti mereka. Namun, dalam pada masa yang sama, para pekerja tidak boleh alpa terhadap pematuhan SOP yang digariskan pihak kerajaan. Sekiranya tetap ‘keras kepala’, jangan disalahkan pemerintah andai negara kita kembali ‘dikurung’.
Ibrahim Md Syukri, Penjawat Awam di Putrajaya