Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.

SKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor hari ini bersetuju mencalonkan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Datuk Jefridin Atan dilantik sebagai senator.

Pemilihan Jefridin yang diusulkan oleh Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Samsolbari Jamali, dibuat menurut Seksyen 1(2) Jadual 7 Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

Jefridin, 52, yang merupakan anak jati Pontian berpengalaman luas dalam bidang politik dan memainkan peranan aktif menyampaikan pelbagai isu kepada agensi kerajaan.

Pada masa ini beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit dan Pegawai Khas kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, jawatan yang disandang sejak 2001.

Beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan termasuk sebagai pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi (Legasi).- BERNAMA