Poster lapor kemasukan PATI

KUALA LUMPUR- Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kepada pihak berkuasa.

“Laporkan Sebarang Aktiviti Kemasukan dan Pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Kepada National Task Force (NTF) di talian Hotline 011-62511223,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Kawalan sempadan yang ketat merupakan salah satu cara kerajaan Malaysia untuk membendung penularan pandemik Covid-19 yang telah menjangkiti lebih 9,000 orang dan mengorbankan 128 nyawa di negara ini.

Semalam, Noor Hisham memaklumkan satu kluster baharu iaitu Kluster Laut telah dikenal pasti di Sabah.

Ia melibatkan seorang PATI yang telah dihantar pulang ke Filipina pada 27 Ogos lalu bagaimanapun berjaya menyelinap masuk Sabah pada 5 September lalu melalui jalan tikus untuk melawat isterinya

Isterinya (kes ke-9,860) dikesan positif Covid-19 pada 8 September lalu ketika menjalani saringan yang dirujuk dari Hospital Kunak ke Hospital Tawau bagi rawatan lanjut komplikasi pendarahan selepas bersalin.

Beliau didapati mula bergejala pada 6 September lalu.

Hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat, dua lagi kes positif Covid-19 dikesan iaitu anak dan jiran kes indeks (kes ke-9861 dan kes ke-9862).
-MalaysiaGazette